Pas umpama 'lilin bakar diri' demi kemenangan Melayu- Islam di Johor

Pas umpama ‘lilin bakar diri’ demi kemenangan Melayu- Islam di Johor

ABDUL Hadi Awang ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pas seumpama ‘lilin yang membakar diri’ bagi mengekalkan kepimpinan politik Melayu-Islam selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir Sabtu lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Awang berkata, beliau bersyukur selepas pengorbanan parti itu untuk ‘menyelamatkan’ negeri itu berhasil selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meski parti itu tidak memenangi sebarang kerusi.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah. Johor selamat. UMNO-BN menang. Orang Pas bekerja di sana. Kita kerahkan orang Pas di kawasan yang tidak bertanding supaya mengundi BN. Terpaksa undi BN untuk kalahkan DAP.

“Kita tidak mengapa. Menang seorang pun tidak mengapa, tidak menang satu kerusi pun tidak mengapa kerana kita melakukan islah, usaha untuk memperbaiki keadaan mengikut kemampuan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, pengorbanan tersebut dilakukan bagi mempertahankan kuasa politik Melayu dan Islam, sekali gus menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

“Orang Pas sanggup berkorban. Datang dari seluruh negara, berkempen di Johor dan di mana-mana diperlukan.

“Orang Pas tidak mengapa, sanggup korbankan diri, jadi lilin yang membakar diri sendiri untuk memberi cahaya kepada orang lain. Kita lakukan semua ini kerana mahu mengekalkan kuasa politik Melayu dan Islam. Alhamdulillah, Johor selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan UMNO-BN agar tidak leka dengan kemenangan yang diperoleh, kerana parti itu tidak selama-lamanya akan kuat.

“Kita sanggup bekerjasama, masih dalam pimpinan UMNO. Kita harap mereka insaf dan kita beri kerjasama kerana tidak selamanya mereka kuat,” katanya.

“UMNO jangan ingat dia kuat sampai bila-bila. Pada pilihan raya lalu, ada kawasan yang UMNO kalah dan dimenangi calon DAP Melayu,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, penyertaan Pas pada PRN Johor bukan untuk mengambil alih kepimpinan negeri, sebaliknya bagi memastikan kepimpinan Melayu terus kekal memerintah.

Katanya, jika terlalu banyak parti Melayu bertanding, keadaan itu hanya akan memecahkan undi orang Melayu.

“Pas hendak tawan Johor tidak boleh kerana UMNO sudah menang di Johor. Tetapi UMNO ini ada Melayunya yang dekat dengan Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, Pas terbuka untuk bekerjasama dengan masyarakat bukan Islam selagi kerjasama itu membawa kebaikan dan tidak melibatkan campur tangan dalam urusan agama Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN