Nilai hartanah kawasan banjir susut hingga 30%

Nilai hartanah kawasan banjir susut hingga 30%

KOLAM Sri Murni di Selayang, Kuala Lumpur berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi menampung limpahan air hujan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai hartanah di Lembah Klang yang kerap dilanda banjir menyusut sehingga 30 peratus sekiranya masalah itu terus berulang tanpa penyelesaian jangka panjang.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof. Dr. Ismail Omar berkata, anggaran tersebut merupakan purata kasar dan kadar penyusutan sebenar bergantung kepada tahap keterukan banjir serta faktor setempat yang perlu dinilai secara lebih terperinci.

Katanya, banjir merupakan fenomena alam yang boleh mempengaruhi nilai hartanah di sesuatu kawasan bergantung kepada tahap bencana dan impak sebenar yang berlaku.

“Sifat hartanah adalah heterogen dan tidak sama antara satu lot tanah dengan lot tanah yang lain menyebabkan kesan banjir terhadap nilai hartanah juga berbeza.

“Nilai hartanah yang merosot sehingga 20 hingga 30 peratus adalah anggaran purata kasar dan perlu diteliti serta dianalisis dengan lebih mendalam.

“Sekiranya banjir berlaku secara berterusan dan mengambil masa yang lama, pasaran hartanah akan terkesan apabila permintaan jatuh dan membawa kepada kejatuhan nilai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan lebih 8.3 juta penduduk di Lembah Klang bakal berdepan risiko banjir berterusan susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya tinggal kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal 114.5 hektar.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sekiranya banjir kilat berlaku dalam tempoh singkat dan cepat surut, kesannya terhadap nilai hartanah adalah minimum serta tidak perlu terlalu dirisaukan.

“Sebaliknya, apabila banjir besar berlaku dan membawa kerosakan besar kepada harta benda seperti hakisan tanah dan keruntuhan bangunan, sudah tentu ia mengakibatkan nilai tanah turut terjejas,” katanya.

Beliau berkata, penilai hartanah akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum menentukan kesan sebenar banjir terhadap nilai sesuatu hartanah.

Katanya, perkara itu termasuk tahap kerosakan, kerugian yang dialami, gangguan kepada perniagaan serta perlindungan insurans sekiranya kerosakan akibat banjir dilindungi.

“Jika kerosakan berlaku akibat banjir dan dilindungi insu­rans, maka kesan akibat banjir dikira minimum dan boleh diketepikan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, jika banjir berlaku hampir setiap tahun tanpa penyelesaian berkesan, persepsi risiko terhadap kawasan terbabit boleh menjadi kekal.

Katanya, pembeli akan menuntut diskaun lebih besar untuk mengimbangi risiko, manakala pelabur pula cenderung mencari lokasi alternatif yang menawarkan pulangan lebih stabil.

“Malah, kesan terbesar mungkin bukan sekadar penurunan harga, tetapi kehilangan kecairan pasaran.

“Ertinya, hartanah menjadi lebih sukar dijual walaupun pemilik bersedia menurunkan harga. Dalam pasaran hartanah, aset yang sukar dijual sering dianggap lebih berisiko berbanding aset yang hanya mengalami sedikit penurunan nilai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN