Musa Hassan kekal bayar Hannah Yeoh RM250,000

Musa Hassan kekal bayar Hannah Yeoh RM250,000

HANNAH Yeoh (tengah) bersama barisan peguam ketika ditemui selepas prosiding kes saman fitnah melibatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan keputusan yang memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Ia selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang difailkan oleh Musa.

Panel terbabit memutuskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak memenuhi ambang keperluan yang ditetapkan (threshold requirement) di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Permohonan itu difailkan Musa bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi kepada Hannah berhubung kenyataan fitnah yang dibuat di sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dalam kes sivil, mana-mana pihak terkesan yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran sebelum berbuat demikian.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan rayuan Hannah dengan memerintahkan Musa membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Hannah dalam satu kes saman fitnah.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mencapai keputusan sebulat suara untuk menolak notis usul tersebut kerana tidak yakin bahawa syarat ambang di bawah Seksyen 96 telah dipenuhi.

“Pada pandangan kami, persoalan yang dibangkitkan tidak mencapai tahap sebagai persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam,” kata Hakim Rhodzariah yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah turut memerintahkan Musa selaku pemohon untuk membayar kos sebanyak RM50,000.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz bertindak bagi pihak pemohon, manakala Hannah diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli.

Pada 30 Januari 2020, Hannah yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan fitnah yang dibuat bekas Ketua Polis Negara itu ketika dijemput sebagai penceramah dalam sebuah forum di sebuah institusi pengajian awam.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa Musa, dalam ucapannya, antara lain menuduh beliau menulis buku bertajuk Becoming Hannah dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Musa juga didakwa mengatakan Hannah mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama Islam serta Malaysia, selain mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding negara.

Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap Musa selepas mendapati wanita itu gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN