Muri Cafe: Rasa sama macam di Korea

Muri Cafe: Rasa sama macam di Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANNYEONGHASE­YO. Tiba-tiba pula mengidam makanan Korea.

Kalau tinggal di Lembah Klang, berlambak restoran dan kafe Korea terutama di kawasan Ampang. Tapi tidak halal pula.

Hendak yang halal ada. Cuma tukang masaknya pula rakyat tempatan, bukan orang Korea. Saya mahukan hidangan yang dimasak sendiri oleh orang Korea.

Mujurlah ada Muri Cafe terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Tukang masaknya memang betul-betul ‘diimport’ daripada Korea Selatan. Beragama Islam lagi.

 

Di situ ada menu tradisional Korea seperti gimbap, jumeok-bap, rabokki, japchae, kimchi dan ramyeon. Saya dan keluarga yang pertama kali datang mencuba drumet dan kepak ayam berperisa soy garlic (sos soya bawang putih) dan yangnyeom (perencah); tteokbokki (kek beras) ros; tuna rice ball (nasi kepal tuna).

Rasanya? Fuh! Salin tak tumpah macam di restoran-restoran yang pernah saya singgah di Seoul dan Busan tidak lama dahulu.

Rasa manis, masin, berlemak, semua sama seperti di Korea Selatan. Hinggakan tanpa segan silu kami hirup kuah tteokbokki sampai licin pinggan.

Disebabkan sedap sangat, kami buat pesanan kedua. Kali ini bukan makanan Korea.

MURI CAFE

Lokasi: 56A, Lorong Pulau Pinang, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur.
Waktu operasi:
 1 petang hingga 11 malam (Jumaat & Sabtu)
 1 petang hingga 10 malam (Ahad-Khamis)

 

Kami cuba Crispy Chicken Cutlet with Fries. Lebih kurang macam fish and chips. Namun, rasanya lebih umph daripada hidangan Barat itu.

Tukang masak yang juga pemilik kafe berasal dari Busan, Nur Amelia Abdullah atau Sung Jung, 42, memberitahu, segala resipi merupakan turun-temurun daripada ibunya. Keluarganya memang berpengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B) dengan mengusahakan restoran serta kafe di Busan dan Daegu.

“Segala resipi dan cara memasak diajar oleh ibu dan saya adun serta sesuaikan dengan bahan-bahan di sini. Ibu yang pernah datang ke sini lebih sukakan sayur-sayuran tempatan.

“Jadi, kita gabungkan kedua-dua bahan import dan tempatan. Lagipun sekarang sudah banyak produk Korea yang ada sijil Halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), tidak was-was nak gunakan.

“Saya ambil masa agak lama juga nak cuba pelbagai bahan jenama tempatan untuk dapatkan rasa masakan yang sama,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas Nur Amelia, dia pernah menyerahkan tugas memasak sepenuhnya kepada kru. Bagaimanapun, rasanya tidak sama dan sebab itulah dia menyediakan sendiri hidangan sambil dibantu kru.

 

Katanya, tteokbokki dan ayam adalah dua hidangan paling mendapat sambutan. Bagi yang kurang gemar masakan Korea, jangan risau. Selain Crispy Chicken Cutlet with Fries yang kami makan, boleh cuba Skin on Fries with spicy mayo.

Minuman pula terdiri daripada pelbagai jenis kopi iaitu Espresso, Americano, Flat White, Latte, Spanish Latte, Einspänner, Einspänner Latte, Mocha, Macchiato dan Cappuccino. Juga minuman bukan kopi seperti Matcha Latte, Strawberry Matcha Latte, Matcha Seasalt, Hojicha, Chocolate dan Chocolate Vanilla Cold Foam.

Selain itu, ada Sparkling Peach, Strawberry, Orange and Elderflower dan Lemonade. Juga Espresso Cube Latte dan Cold Brew.

Nur Amelia berkata, dia akan menambah menu baharu dalam masa terdekat seperti odeng, gimmari, bibimbap dan aneka masakan nasi kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain itu, dia mahu memperkenalkan pastri yang dibuat sendiri untuk minum petang atau sebagai pemanis mulut.

Nur Amelia memulakan operasi Muri Cafe bersama suaminya, Mohd. Hafiz Abdul Samah, 40, sejak Januari lalu.

Menurut Mohd. Hafiz, pada mulanya mereka beroperasi dari pagi hingga petang. Namun, melihat kepada corak kehadiran pelanggan, lebih ramai yang datang untuk makan tengah hari dan malam.

Lalu mereka tukar waktu operasi dari pukul 1 petang hingga 11 malam (Jumaat dan Sabtu) dan 1 petang hingga 10 malam (Ahad hingga Khamis). Kebanyakan pelanggan datang dari kawasan sekitar seperti Taman Melawati, Taman Melati dan Ukay Perdana.

Saya yang pertama kali datang sedikit pelik apabila mendapati kafe tersebut terletak di tingkat atas bangunan kedai dua tingkat, tidak seperti kebiasaan kedai makan lain di paras bawah.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Hafiz, ia sengaja dibuat sedemikian untuk meniru konsep kafe di Korea Selatan yang kebanyakannya beroperasi di tingkat atas sesebuah bangunan.

Susun atur dalam kafe nampak ringkas dan santai dengan hiasan dinding berkaitan Korea Selatan. Terasa tenang untuk lepak bersama keluarga atau rakan.

Ada ruang untuk mereka yang mahukan privasi bagi mengadakan majlis atau aktiviti tertentu seperti sambutan hari jadi atau program keluarga. Sesuailah dengan namanya, Muri yang bermaksud sekumpulan orang atau pertemuan dalam bahasa Korea.

“Kita pilih nama ini dengan harapan kafe ini jadi tempat berkumpul untuk semua golongan dan mereka dapat mencipta kenangan manis bersama,” ujar Mohd. Hafiz.

Sepanjang lebih sejam jam duduk di situ, saya perhatikan majoriti pelanggannya terdiri daripada anak-anak muda dan keluarga kecil. Juga disediakan surau untuk pelanggan.

Sementara itu, ditanya mengenai latar belakang perkahwinannya, Mohd. Hafiz menceritakan, dia mengenali Nur Amelia sewaktu mereka terlibat dalam program pertukaran pelajar universiti di sini.

Sejak itu Nur Amelia rapat dengan keluarganya dan banyak tahu mengenai Islam hingga terbuka hati untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Hasil perkahwinan selama kira-kira 17 tahun, mereka dikurniakan seorang anak yang kini berusia 14 tahun.

Bagi penggemar makanan Korea bolehlah ke Muri Cafe. Saya berani jamin anda pasti hendak datang lagi untuk kali kedua dan seterusnya kerana mahu cuba menu lain pula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN