MOTAC seru kerjasama kerajaan negeri, swasta perkukuh produk tempatan ke pasaran antarabangsa

MOTAC seru kerjasama kerajaan negeri, swasta perkukuh produk tempatan ke pasaran antarabangsa

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru kerajaan negeri dan syarikat swasta memperkukuh kerjasama bagi mempromosikan produk pelancongan tempatan ke pasaran antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerjasama itu penting bagi memperluaskan promosi dan meningkatkan pendedahan produk pelancongan tempatan di peringkat antarabangsa.

“Saya minta Yang Berhormat Kuantan, kalau boleh kita nanti duduk berbincang bagaimana untuk bekerjasama menaik taraf produk daripada Pahang,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai usaha pihak kementerian dalam membantu pengusaha industri batik di Parlimen Kuantan termasuk bantuan kewangan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, daya saing dan pemasaran produk batik tempatan.

Katanya, Kraftangan Malaysia menyokong pembangunan usahawan menerusi pelbagai inisiatif termasuk latihan teknikal, latihan keusahawanan, bantuan pemasaran, penyediaan makmal pengeluaran serta Program Pembangunan Kemahiran Komuniti yang memberi tumpuan kepada golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

“Selain itu, Kraftangan turut membantu pembangunan produk baharu yang menepati kehendak pasaran serta menyediakan platform promosi melalui program fizikal seperti Festival Kraf dan platform digital seperti MyCraftShoppe, E-Kraf Bazaar dan Craft on the Go.

“Walaupun Kraftangan Malaysia tidak menyalurkan bantuan kewangan secara langsung, usahawan boleh memohon Skim Pembiayaan Usahawan Kraf yang menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 bagi pembelian peralatan dan mesin dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 10 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN