Mohamad sedia pertahankan Rantau jika dipersetujui parti

Mohamad sedia pertahankan Rantau jika dipersetujui parti

MOHAMAD Hasan ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau 2026 di Seremban, Negeri Sembilan hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk bertanding semula sekiranya dipersetujui kepemimpinan parti.

Penyandang DUN Rantau itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertanding semula di kerusi berkenaan sekiranya terus diberi kepercayaan.

“Kalau dipersetujui oleh pucuk pimpinan, saya tidak ada masalah untuk bertanding di DUN Rantau,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pembahagian kerusi BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan masih belum dimuktamadkan.

Jelas Mohamad, BN tidak lagi boleh bergantung kepada pembahagian kerusi tradisi semata-mata kerana komposisi pengundi yang semakin berubah.

Sehubungan itu, terdapat kemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara parti komponen sekiranya ia mampu meningkatkan peluang kemenangan BN.

“Kita mahu lihat semula kerana komposisi pengundi sekarang sudah banyak berubah. Kalau selama ini sesuatu parti bertanding di kawasan sama tetapi beberapa kali kalah, kita perlu beri peluang kepada parti lain pula.

“Boleh jadi kita buat pertukaran kerusi tetapi matlamatnya adalah memberi peluang kepada parti komponen yang mempunyai potensi menang di sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata, nama calon BN dijangka diumumkan pada 15 Julai ini sempena pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Negeri Sembilan.

Sementara itu, Mohamad berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai kemungkinan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

“Tidak tahu pula saya mengenai perkara itu. Kalau ada pun mungkin kemudian tetapi setakat ini memang tidak timbul sebarang perbincangan tentang perkara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN