MCMC siasat kandungan hina Nabi Muhammad di Facebook

MCMC siasat kandungan hina Nabi Muhammad di Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kandungan berunsur 3R (kaum, agama dan raja) yang didakwa menghina Nabi Muhammad di platform Facebook.

MCMC berkata, pihaknya menerima aduan berhubung tindakan memuat naik kandungan jelik berkenaan.

“MCMC sedang menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di Threads berhubung dakwaan sebuah akaun media sosial memuat naik kandungan yang dipercayai menghina Nabi Muhammad sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Namun, individu yang dikaitkan dengan akaun Facebook itu menafikan akaun berkenaan miliknya.

Katanya, nama dan gambarnya telah disalahgunakan oleh pihak lain untuk memuat naik kandungan berkenaan.

MCMC berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bersedia memberikan bantuan teknikal serta sokongan kepakaran digital, sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Penyebaran kandungan jelik melampau berkaitan agama dipandang serius kerana berpotensi mencetuskan kebencian, menjejaskan perpaduan masyarakat dan menggugat keharmonian antara kaum.

“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.

“Mereka juga dinasihatkan supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, penghinaan atau menghasut, khususnya yang melibatkan agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN