MCCC gesa CCTV diwajibkan di semua sekolah, pemeriksaan beg diperketat - Utusan Malaysia

MCCC gesa CCTV diwajibkan di semua sekolah, pemeriksaan beg diperketat

INTERVENSI awal terhadap murid berisiko tinggi penting agar mereka tidak tercicir sebelum sempat dibantu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menggesa kerajaan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah di seluruh negara serta melaksanakan pemeriksaan beg pelajar di pintu masuk sebagai langkah pencegahan bagi memastikan insiden keganasan di institusi pendidikan tidak terus berulang.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan dasar keselamatan yang lebih komprehensif memandangkan beberapa kejadian melibatkan pelajar sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan hanya bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku tidak lagi memadai, sebaliknya usaha pencegahan perlu diperkukuhkan bagi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk semua.

“CCTV perlu diwajibkan di semua sekolah di Malaysia. Bukan hanya dipasang di dalam kelas, tetapi juga di koridor, laluan ke tandas, tangga, pintu masuk dan semua kawasan yang menjadi laluan pelajar.

“Di mana sahaja pelajar bergerak dalam kawasan sekolah, pemantauan melalui CCTV amat penting. Rakaman itu bukan sahaja membantu siasatan sekiranya berlaku sesuatu kejadian, malah mampu menghalang individu daripada melakukan jenayah kerana mereka mengetahui setiap pergerakan dirakam,” katanya.

Daniel berkata, kerajaan juga perlu memastikan liputan CCTV mencukupi supaya tiada kawasan yang menjadi ‘blind spot’ sehingga menyukarkan pemantauan atau siasatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya lagi, pelaburan bagi mempertingkatkan sistem keselamatan sekolah tidak sepatutnya dianggap sebagai beban, sebaliknya satu keperluan demi melindungi nyawa pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Selain pemasangan CCTV, beliau turut mencadangkan supaya semua sekolah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan keselamatan terhadap pelajar sebelum memasuki kawasan sekolah.

“Setiap sekolah perlu mempunyai pengawal keselamatan yang menjalankan pemeriksaan beg pelajar. Kita perlu memastikan tiada sesiapa membawa masuk senjata tajam seperti pisau atau apa-apa objek berbahaya yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.

“Mungkin ada yang beranggapan langkah ini terlalu ketat, namun kita perlu melihat kepada kepentingan yang lebih besar iaitu keselamatan pelajar. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada bertindak selepas tragedi berlaku,” katanya.

Dalam masa sama, Daniel berkata aspek keselamatan fizikal sahaja tidak mencukupi sekiranya kesejahteraan emosi pelajar terus diabaikan.

Beliau berkata, ibu bapa, guru dan penjaga perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku remaja termasuk mereka yang tiba-tiba menjadi pendiam, mengasingkan diri, mudah marah, hilang minat terhadap aktiviti harian atau menunjukkan perubahan emosi yang ketara.

“Jangan hanya menuding jari mencari siapa yang bersalah apabila sesuatu tragedi berlaku. Sebaliknya tanyalah mengapa ia boleh berlaku dan apakah kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kejadian sama tidak berulang.

“MCCC percaya pencegahan bermula dengan komunikasi, keprihatinan dan kesediaan untuk mendengar. Kadangkala satu perbualan yang ikhlas sudah cukup untuk mengubah kehidupan seorang anak,” katanya.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting.

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan suasana panik dalam kalangan pelajar, manakala suspek telah didakwa di mahkamah mengikut proses perundangan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN