PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad merasmikan pembukaan cawangan baharunya di Taipan Business Centre, USJ, di sini sekali gus memperkukuh kehadirannya di pasaran Selangor.
Pembukaan cawangan tersebut bertujuan mendekatkan penyelesaian perbankan pengguna, pelaburan, serta perbankan perniagaan kepada komuniti di salah sebuah kawasan komersial paling sibuk di Subang Jaya.
Sempena pembukaan rasmi itu, MBSB Bank menawarkan kadar istimewa 3.78 peratus setahun bagi Term Deposit-i dan Term Investment Account-i untuk tempoh 12 bulan, melibatkan jumlah simpanan atau pelaburan antara RM1,000 hingga RM100,000.
Pengerusi MBSB Berhad, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, ketika landskap perbankan menjadi semakin digital, nilai sesebuah cawangan fizikal kini ditentukan oleh kualiti nasihat serta sokongan yang diberikan kepada pelanggan.
“Bersempena pembukaan ini, kami menggalakkan komuniti USJ untuk mengunjungi cawangan ini, membuka akaun bersama kami, memanfaatkan kadar promosi terhad 3.78 peratus setahun dan meneroka perkhidmatan seperti GET untuk keperluan pemindahan wang antarabangsa mereka,” katanya dalam kenyataan.
Cawangan yang terletak di Aras Bawah No. 1, Jalan USJ 10/1J itu telah mula beroperasi sejak 27 April 2026, bagi memberikan pelanggan akses terus kepada sokongan nasihat kewangan daripada pasukan bank.
Premis di USJ itu merupakan sebahagian daripada enam cawangan baharu dan cawangan yang dipindahkan oleh MBSB Bank pada tahun 2026 dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatannya di kawasan kediaman dan komersial utama.
Sepanjang tahun ini, bank berkenaan telah membuka cawangan baharu di Inanam, Bayan Baru, dan USJ, selain memindahkan operasi cawangannya di Kangar, Kulim dan Bintulu.
Sebagai satu-satunya bank yang beribu pejabat di Petaling Jaya, MBSB Bank kini mempunyai rangkaian sembilan cawangan di Selangor yang memberi perkhidmatan kepada komuniti utama termasuk di Shah Alam, Puchong, Klang dan Kelana Jaya.
Melalui cawangan baharu ini, individu mahupun usahawan PKS boleh mendapatkan pelbagai penyelesaian kewangan merangkumi pengurusan kekayaan, pembiayaan peribadi, pembiayaan hartanah, serta pembiayaan perniagaan. –UTUSAN










