Masuk laluan bertentangan, rempuh kereta dan gerai durian

Masuk laluan bertentangan, rempuh kereta dan gerai durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta dan sebuah gerai durian dalam kemalangan di Jalan Mergastua, Kepong Baru, di sini, malam tadi.

Timbalan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan yang tular di media sosial itu membabitkan dua buah motokar dan sebuah gerai durian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.25 malam, semalam.

“Sebuah kereta jenis yang dipandu seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 29 tahun dipercayai memasuki jalan salah sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta itu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh khemah sebuah gerai durian yang berada di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu kedua-dua kenderaan mahupun orang awam.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan pemandu, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN