JEMPOL: Isu bekalan air dan menaik taraf infrastruktur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) G. Manivanan, 51.
Menurutnya, perkara itu mesti diberikan perhatian bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan yang asas lebih baik.
Manivannan berkata, usaha itu merupakan antara fokus utama dalam manifesto yang dibawanya dengan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan pelbagai isu yang sekian lama membelenggu penduduk.
Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada kerja menaik taraf jalan raya yang rosak, memastikan bekalan air bersih mencukupi, memperkukuh sistem bekalan elektrik serta memperluaskan liputan internet berkelajuan tinggi.
“Isu bekalan air menjadi antara fokus utama kerana penduduk di beberapa kawasan terutama Sungai Raya terpaksa berdepan gangguan bekalan sehingga empat hingga lima hari tanpa air.
“Selain itu, terdapat kawasan lain di Jeram Padang yang sering mengalami tekanan air rendah, bekalan tidak stabil dan gangguan berulang sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ziarah Kasih bersama Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Felda Palong 2, di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan kepada agensi berkaitan selain bekerjasama dengan kerajaan bagi mempercepatkan penyelesaian menyeluruh supaya penduduk menikmati bekalan air yang stabil dan berkualiti.
Dalam pada itu, Manivanan berkata, kemudahan awam seperti balai raya, taman rekreasi, kemudahan sukan, sistem perparitan dan lampu jalan turut akan dipertingkatkan mengikut keperluan setiap kawasan.
Katanya, pembangunan seimbang perlu dinikmati semua penduduk termasuk di kawasan Felda, Felcra, penempatan semula estet, taman perumahan dan perkampungan Orang Asli.
Beliau berkata, sebagai komitmen Kerajaan Madani, beberapa projek penggantian paip di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah diluluskan bagi menangani isu bekalan air di Jeram Padang.
“Antaranya melibatkan penggantian paip dari Loji Rawatan Air Kuala Jelai ke Rompin sepanjang 15 kilometer, penggantian paip di jajaran outlet Kolam Felda Palong 1 sepanjang empat kilometer serta penggantian paip di Jalan Kesuma, Felda Palong 1 sepanjang 1.3 kilometer yang kini berada pada peringkat reka bentuk,” katanya.
Selain itu, katanya, beberapa cadangan penyambungan paip di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut dirancang membabitkan Kampung Sungai Kelebang, Kampung Sungai Raya, Kampung Sungai Temarom, Kampung Lubuk Temenggalan dan Kampung Jeram Padang. – UTUSAN







