JELEBU: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berasaskan kepentingan serta sumber negeri dan bukannya mencampurkan agenda kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, manifesto bagi setiap pilihan raya bergantung kepada keadaan dan suasana, justeru hala tuju sesuatu parti bagi PRN perlu berteraskan kepentingan negeri.
“Saya sudah maklumkan semalam bahawa manifesto bagi setiap pilihan raya bergantung kepada keadaan dan suasana. Ini adalah pilihan raya di peringkat negeri, maka manifesto atau hala tuju sesuatu parti itu mestilah berasaskan kepentingan serta sumber negeri.
“Sebab itu saya berpandangan manifesto BN akan merangkumi aspek kependudukan dan juga prestasi di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk di sekitar Pekan Simpang Pertang, Jelebu, hari ini.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, perkara berkaitan kerajaan Persekutuan merupakan segmen yang berbeza dan tidak seharusnya dijadikan sebahagian daripada manifesto bagi menghadapi PRN.
“Persekutuan pula adalah perkara berbeza. Bukan saya katakan ia tidak penting, tetapi ia merupakan satu segmen lain yang tidak seharusnya dijadikan sebahagian daripada manifesto bagi menghadapi PRN kerana ia bergantung kepada rolling plan, kedudukan serta peruntukan dalam perancangan lima tahun dan sebagainya.
“Jadi saya fikir itu terpulang kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi BN akan mengemukakan manifesto berasaskan kepada apa yang telah saya nyatakan (kepentingan serta sumber negeri),” katanya.
Mengulas sama ada manifesto BN mampu menyaingi manifesto PH, Jalaluddin berkata, manifesto BN akan merangkumi semua aspek dan bukannya pembentangan belanjawan.
“Tentunya akan menyaingi manifesto Pakatan Harapan. Ia merangkumi semua aspek kerana saya sudah jelaskan bahawa manifesto ini bukannya pembentangan belanjawan,” katanya.-UTUSAN










