Mandat BN di Johor bukti rakyat mahu kestabilan

Mandat BN di Johor bukti rakyat mahu kestabilan

ZAMBRY Abd. Kadir (kanan) dan Onn Hafiz Ghazi ketika menanti keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, semalam. FACEBOOK ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mandat besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar kemenangan politik sebaliknya amanah besar untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil, berwibawa dan mampu meneruskan agenda pembangunan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mandat itu mencerminkan keyakinan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang mampu memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

Katanya, rekod pentadbiran kerajaan negeri yang cemerlang, kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta hala tuju pembangunan Johor yang jelas menjadi asas penting kepada keyakinan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN.

“Mandat ini bukan sekadar satu kemenangan politik, tetapi merupakan amanah besar daripada rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Di bawah kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, seluruh kekuatan parti-parti komponen dan Friends of BN telah berjaya disatukan dan diperkukuhkan di semua peringkat. 

“BN tampil sebagai sebuah gabungan yang menawarkan kestabilan, kesederhanaan serta penyelesaian kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, BN akan menjadi kerajaan kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua calon BN yang dipilih supaya tidak melihat kemenangan itu sebagai penghujung perjuangan, sebaliknya permulaan kepada amanah lebih besar.

“Berkhidmatlah dengan penuh rendah hati, dekatilah rakyat dan bekerjalah tanpa jemu demi memastikan Johor terus maju, makmur dan mendapat lebih banyak kejayaan.

“BN akan terus mengekalkan pendekatan politik yang sederhana, stabil, matang dan inklusif,” katanya. 

Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengetuai jentera BN Johor dengan penuh dedikasi sepanjang PRN berkenaan.

“Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada semua kepimpinan BN, parti-parti komponen UMNO, MCA, MIC, PBRS, PPP dan Friends of BN, jentera pilihan raya negeri-negeri, para sukarelawan dan penyokong yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang kempen.

“Kemenangan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh keluarga besar BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN