PETALING JAYA: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam meneroka bidang kerjasama strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Luar Negara, Majlis Kebangsaan Persekutuan UAE, Dr. Ali Rashid Al Nuaimi.
Beliau berkata, Malaysia menghargai komitmen UAE untuk terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Saya menghargai komitmen UAE untuk terus memperkukuh hubungan erat dengan Malaysia, khususnya dalam meneroka bidang kerjasama strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu turut menyentuh perkembangan geopolitik semasa termasuk konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta implikasinya terhadap rantau ini.
Katanya, beliau dan Ali Rashid turut bertukar pandangan mengenai kepentingan kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam sektor pertahanan dan tadbir urus.
“Saya menyambut baik perkongsian pengalaman UAE yang mewajibkan para menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan mengikuti latihan AI.
“Langkah itu bagi memastikan kepimpinan sentiasa bersedia mendepani perubahan teknologi yang semakin pesat,” katanya. – UTUSAN









