Malaysia tidak iktiraf dokumen perjalanan Israel

Malaysia tidak iktiraf dokumen perjalanan Israel

Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus mengekalkan pendirian tegas terhadap Israel apabila dokumen perjalanan yang dikeluarkan negara itu tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, setiap permohonan kemasukan warga asing ke Malaysia akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan serta penilaian risiko yang menyeluruh sebelum kebenaran diberikan.

Menurutnya, individu yang termasuk dalam kategori imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 juga tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

“Pada masa sama, mana-mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan negara, ketenteraman awam atau kepentingan nasional tidak akan dibenarkan memasuki negara ini malah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966, peraturan-peraturan imigresen yang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut KDN, pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar melibatkan urusan imigresen, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan negara yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi penguat kuasa berkaitan.

Katanya, pendekatan itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan setiap keputusan berkaitan kemasukan warga asing mengambil kira aspek keselamatan nasional, kedaulatan negara, kepentingan awam serta pematuhan kepada undang-undang Malaysia.

“KDN akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko serta penguatkuasaan bersepadu.

“Ini bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.

Jelasnya, KDN  akan terus melaksanakan segala dasar dan keputusan kerajaan secara profesional, telus serta berintegriti demi memelihara keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres AS menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, pendirian Malaysia berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN