KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Dialog Keamanan Selatan Thailand yang baharu, Thanut Suvarnananda dalam usaha meneruskan proses damai dan mewujudkan keamanan serta kestabilan di wilayah selatan negara itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia mengalu-alukan pelantikan Thanut dan berharap proses dialog keamanan yang sedang berlangsung dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
“Kita akan memberi segala kerjasama kepada ketua dialog yang baharu supaya matlamat mewujudkan keamanan dan kestabilan di Selatan Thailand dapat dicapai.
“Kita menyokong segala usaha bagi memastikan kawasan Selatan Thailand berada dalam keadaan aman dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Khaled bagaimanapun menegaskan, penglibatan Malaysia tertumpu kepada usaha memudah cara proses dialog keamanan dan bukannya mencampuri urusan keselamatan dalaman Thailand.
Katanya, sebarang insiden keganasan atau serangan yang berlaku di Selatan Thailand merupakan isu kedaulatan negara berkenaan dan perlu ditangani oleh kerajaan Thailand sendiri.
“Kalau berlaku serangan dan sebagainya, itu bukan peranan kita kerana ia melibatkan kedaulatan negara mereka.
“Seperti juga sekiranya berlaku insiden keselamatan di Malaysia, kita tidak menjangkakan negara lain mencampuri urusan dalaman kita. Kita perlu menghormati kedaulatan setiap negara,” katanya.
Beliau berkata, peranan Malaysia adalah membantu menggerakkan proses damai dengan membawa pihak-pihak yang bertelagah ke meja rundingan.
Katanya, Malaysia mempunyai wakil khas yang berperanan memudah cara rundingan antara pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik yang berlarutan di Selatan Thailand.
Dalam pada itu, beliau turut membezakan isu keselamatan di Selatan Thailand dengan kerjasama kawalan sempadan Malaysia-Thailand yang diperkukuhkan melalui Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand.
Katanya, kerjasama di kawasan sempadan lebih tertumpu kepada usaha membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti jenayah lain yang boleh mengancam keselamatan kedua-dua negara. – UTUSAN










