Malaysia alu-alu Timor-Leste sertai ASEAN-PAC, perkukuh kerjasama antirasuah serantau

Malaysia alu-alu Timor-Leste sertai ASEAN-PAC, perkukuh kerjasama antirasuah serantau

Abdul Halim Aman bergambar dengan para delegasi yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 di Banda Hilir hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerjasama serantau membanteras rasuah serta memperluaskan jaringan integriti dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, kemasukan negara itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 mencerminkan komitmen bersama negara-negara ASEAN untuk memperkukuhkan tadbir urus yang baik dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan.

Beliau berkata, Malaysia berbesar hati mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste yang bakal melengkapkan keanggotaan ASEAN-PAC, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha kolektif memerangi rasuah di rantau ini.

“ASEAN-PAC telah berkembang jauh sejak penubuhannya. Hari ini ia bukan sekadar platform dialog serantau, malah menjadi sebuah komuniti yang menghimpunkan agensi-agensi antirasuah yang disatukan oleh matlamat bersama, saling mempercayai dan berkongsi komitmen untuk memperkukuh integriti di rantau ASEAN.

“Penyertaan Timor-Leste akan mengukuhkan lagi kerjasama ini dan membolehkan negara berkenaan berkongsi pengalaman serta memanfaatkan kepakaran negara anggota lain dalam memperkasakan agenda antirasuah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 di Banda Hilir di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman serta Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) merangkap Pesuruhjaya Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong, Danny Woo Ying Ming.

Abd. Halim berkata, landskap rasuah global kini semakin kompleks apabila didorong oleh penggunaan teknologi digital, sistem kewangan rentas sempadan serta rangkaian jenayah yang semakin canggih.

Menurut beliau, perkembangan itu menuntut setiap negara memperkukuhkan kerjasama kerana tiada sebuah negara atau agensi mampu menangani ancaman tersebut secara bersendirian.

“Cabaran yang semakin berkembang ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar terletak pada keupayaan untuk bekerjasama, berkongsi pengetahuan, saling belajar dan membangunkan penyelesaian praktikal yang dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua hari mesyuarat berlangsung, delegasi akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama serantau, memperluaskan penggunaan inovasi digital, berkongsi amalan terbaik serta memastikan ASEAN-PAC kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu.

Katanya, SPRM turut menghargai sokongan berterusan rakan strategik antarabangsa termasuk IAACA, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Asian Development Bank (ADB) dan PIACCF dalam memperkukuh pembangunan kapasiti serta perkongsian kepakaran antirasuah di rantau ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa SPRM bersama IAACA dan rakan strategik akan menganjurkan Seminar Serantau mengenai Integriti dalam Projek Infrastruktur Berskala Besar esok bagi membincangkan amalan terbaik dalam memperkukuhkan integriti dan ketelusan pelaksanaan projek infrastruktur di rantau ASEAN.

“Marilah kita terus memperkukuh ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama dan inovasi yang dinamik agar kita dapat membina sebuah rantau yang menjunjung tinggi integriti, memperkukuhkan kepercayaan terhadap institusi serta memastikan rasuah tidak mempunyai tempat di ASEAN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN