KUALA LUMPUR: Cubaan segelintir pekerja warga asing di premis pemborong pakaian sekitar Jalan Kenanga melarikan diri gagal apabila mereka ditahan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam serbuan OP Mega hari ini.
Malah, dalam serbuan bermula pukul 11 pagi itu, beberapa majikan juga dikesan cuba menyembunyikan pekerja warga asing tidak sah di ruang loteng tingkat empat premis serbuan.
Tindakan pekerja asing itu bagaimana tidak berjaya apabila seramai 236 orang diperiksa dan 111 warga asing ditahan.
Wartawan yang turut menyertai operasi itu mendapati lima pekerja warga asing ditemukan sedang bersembunyi di atas ruang loteng terbabit yang penuh dengan pakaian.
Malah, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu besi yang berkunci sebelum menemui ada yang bersembunyi di dalam timbunan kotak dan seorang lagi di celah-celah patung hiasan.
Salah seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun yang ditemukan dalam premis itu mendakwa dirinya merupakan pelajar sebuah kolej di Ibu negara.
“Saya tidak bekerja di sini hanya tinggal di atas ini sebagai tempat tidur kerana masih belajar,” itu katanya ringkas yang tidak fasih berbahasa Melayu dan Berbahasa Inggeris.
Sementara itu, lelaki warga Bangladesh yang bersembunyi di celah kotak di premis sama turut mengaku sebagai pelajar kolej mendakwa mengambil jurusan perniagaan.
Bagaimanapun ketika diminta menunjukkan bukti pas pelajar, mereka gagal mengemukakannya dan mengaku tidak mempunyai pas pelajar.
Susulan itu, mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh JIM bagi mengenal pasti kesalahan imigresen dilakukan. – UTUSAN










