ALOR SETAR: Polis memburu dua suspek bersenjata pisau dipercayai menyamun seorang pekerja warga asing sebuah kilang memproses ayam di Simpang Empat, Jalan Kangkong di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang kerugian wang tunai RM50 dalam kejadian pada pukul 7 malam itu.
“Ketika kejadian mangsa berjalan menuju ke tempat kerja dari asrama yang terletak berdekatan sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali. Suspek yang menaiki motosikal dipercayai bersenjatakan sebilah pisau,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
“Setakat ini kami hanya menerima satu laporan polis berhubung kejadian tersebut. Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian kerana boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Setar di talian 04-7747222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mashaik Ridzuan Shaik Ibrahim di nombor 017-4577730,” ujarnya. – UTUSAN










