Tiga warga asing ditahan kerana bekerja di sangkar ikan tanpa permit

Tiga warga asing ditahan kerana bekerja di sangkar ikan tanpa permit

TIGA lelaki warga asing ditahan kerana bekerja tanpa permit yang sah di sebuah sangkar ikan di kawasan perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang.-GAMBAR/APMM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tiga lelaki warga asing selepas mereka gagal mengemukakan permit kerja yang sah susulan satu pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah sangkar ikan di perairan Teluk Bahang, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pemeriksaan kira-kira pukul 1 petang oleh sepasukan anggota bot peronda APMM itu dilakukan hasil maklumat yang diterima daripada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim negeri.

Katanya, lelaki warga asing yang ditahan itu terdiri daripada dua lelaki Myanmar serta seorang warga Bangladesh dan masing-masing berusia antara 21 hingga 39 tahun.

“Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen atau permit yang sah serta Seksyen 5(2) akta yang sama kerana memasuki atau keluar dari Malaysia tidak melalui pintu masuk yang diwartakan.

“Ketika ini, mereka telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pengusaha sangkar ikan berkenaan turut disiasat kerana dipercayai telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan sistem kultur laut tanpa lesen yang sah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN