KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan membatalkan saman pemula difailkan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas berhubung pengisytiharan kekosongan luar jangka tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas ketika membaca keputusan tersebut mendapati keputusan Speaker berhubung pengisytiharan kekosongan luar jangka itu dibuat dalam lingkungan kuasa Perlembagaan dan undang-undang di bawah Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.
Katanya, tindakan Speaker itu adalah berkaitan dengan urusan penting dan teras DUN serta secara amnya tidak boleh diadili oleh mahkamah.
“Mahkamah berpandangan tindakan plaintif mempersoalkan perkara-perkara yang dipertimbangkan oleh defendan pertama sebagai Speaker dalam membuat keputusan berkaitan DUN secara amnya tidak boleh diadili oleh mahkamah. Ini kerana keesahan prosiding dalam DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. Kekebalan ini timbul daripada doktrin pengasingan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman,” katanya dalam alasan penghakiman ringkas hari ini.
Katanya, keputusan Speaker juga adalah nyata berkaitan urusan penting dalam parameter Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis walaupun dibuat di luar prosiding Dewan.
Beliau berkata, mahkamah juga tidak akan bertindak sebagai pengadil terhadap keputusan tersebut kerana ia akan membuka ruang kepada mahkamah untuk mengadili pertimbangan Speaker dalam perkara yang bukan berada dalam bidang kuasa mahkamah.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan Speaker di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan membatalkan saman pemula yang difailkan tiga bekas ADUN berkenaan.
Sementara itu, peguam yang mewakili defendan, Wan Rohimi Wan Daud berkata, keputusan tersebut menoktahkan keseluruhan kes berkenaan melainkan plaintif berhasrat untuk memfailkan rayuan.
“Mahkamah benarkan permohonan kita untuk membatalkan kes induk plaintif. Kuasa Speaker tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah selagi mana beliau bertindak mengikut ruang lingkup Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, yang mana itulah hakikat yang dilakukan. Kes ini telah collapse (tamat),” katanya.
Peguam plaintif, Mohd. Jamil Yaacob pula berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah, namun belum memuktamadkan langkah seterusnya.
Pada 25 Disember tahun lalu, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas keahlian tiga wakil rakyat Pas itu terhenti serta-merta, selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Susulan itu, tiga bekas wakil rakyat tersebut iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) memfailkan saman pemula terhadap Rus’sele kerana mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi diwakili mereka. – UTUSAN










