PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) bakal membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu baharu, MS Industrial Park @ Kulai dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.26 bilion.
Langkah itu susulan kelulusan yang diperoleh daripada pemegang saham bagi pengambilalihan tanah pegangan bebas seluas kira-kira 169.62 hektar di Kulai pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan berkenaan.
Pembangunan projek itu bakal dilaksanakan oleh M Industrial Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik 60 peratus Mah Sing, bersama KLK Land Sdn. Bhd. yang memegang baki 40 peratus ekuiti.
Pengambilalihan tanah yang diluluskan dengan nilai pertimbangan RM273.87 juta itu dimeterai atas dasar pembeli dan penjual rela, berpandukan penilaian bebas bernilai RM274.0 juta oleh Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd.
Mah Sing berkata, projek berkenaan memperkukuh kehadiran kumpulan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta membolehkannya memanfaatkan peningkatan permintaan daripada sektor pembuatan termaju, logistik, teknologi dan infrastruktur digital.
“Projek baharu ini memperluas jejak perindustrian kumpulan di JS-SEZ dan menambah jumlah simpanan tanah Mah Sing kepada kira-kira 1,085.58 hektar sekali gus menyediakan platform lebih kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan kediaman dan perindustrian pada masa hadapan.
“Tertakluk kepada kelulusan berkaitan, MS Industrial Park @ Kulai dirancang merangkumi pelbagai penawaran seperti kilang kluster, berkembar dan sesebuah, selain plot tanah perindustrian kosong seluas 0.4 hingga 3.2 hektar bagi kemudahan perindustrian khas, hab logistik serta potensi pembangunan pusat data,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, sokongan dan keyakinan pemegang saham mencerminkan pendirian bersama bahawa projek tersebut merupakan pembangunan strategik yang akan mengukuhkan portfolio perindustrian kumpulan.
“Johor kini muncul sebagai antara destinasi pelaburan paling menarik di Asia Tenggara, disokong oleh JS-SEZ, kesalinghubungan rentas sempadan yang lebih kukuh serta peningkatan pelaburan dalam industri bernilai tinggi.
“Berdasarkan rekod prestasi kami di Johor dan kerjasama strategik bersama KLK Land, kami yakin MS Industrial Park @ Kulai dapat menarik pelaburan berkualiti serta menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pertumbuhan masa depan Mah Sing,” katanya.
Mengulas lanjut, syarikat berkata, Kulai kini menjadi lokasi perindustrian yang semakin menarik dengan tanah perindustrian mencatatkan bahagian nilai urus niaga tanah terbesar di Kulai pada tahun 2025, sekali gus mencerminkan permintaan yang sihat daripada pihak perniagaan.
“Terletak secara strategik di dalam Iskandar Malaysia, pembangunan ini menikmati kemudahan akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Senai-Desaru dan Laluan Kedua ke Singapura.
“Jika tiada sebarang halangan, pengambilalihan tanah berkenaan dijangka selesai pada suku keempat tahun 2026 dan pembangunan projek akan dimulakan selepas itu,” katanya. –UTUSAN










