Lelaki hilang sejak 10 Jun lalu disahkan telah meninggal dunia

Lelaki hilang sejak 10 Jun lalu disahkan telah meninggal dunia

SHAHIR ZAINUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu disahkan telah meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut ketika sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) iaitu sehari selepas mangsa dimasukkan ke hospital itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, mangsa, Shahir Zainul, 46, disahkan meninggal dunia pada 11 Jun dan identitinya dikenal pasti selepas ahli keluarga membuat pengecaman di Jabatan Perubatan Forensik HPP, malam tadi.

“Polis mengesahkan mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini telah meninggal dunia pada 11 Jun ketika sedang menerima rawatan di HPP. Satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa yang terdekat,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan lelaki itu dilakukan sepasukan anggota polis dan bomba di kawasan berhampiran sebuah kebun durian sejak awal pagi, namun, ditamatkan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan.

Difahamkan, pada 21 Jun lalu, pihak HPP turut mengeluarkan satu hebahan berhubung mayat seorang lelaki dewasa yang tidak dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan dalam usaha untuk mengesan waris.

Pengecaman oleh ahli keluarga mangsa malam tadi bagaimanapun mengesahkan bahawa mayat berkenaan adalah Shahir yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN