KUALA NERUS: Kerajaan negeri akan menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal di Pulau Redang, dekat sini termasuk melaksanakan kutipan sampah setiap hari pada musim pelancongan bermula tahun depan bagi menangani isu lambakan sampah yang berulang di pulau peranginan bertaraf antarabangsa itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, masalah tersebut berpunca daripada jadual kutipan sisa pepejal yang ketika ini dilaksana secara selang sehari mengikut syarat kontrak sedia ada.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sampah terkumpul dengan cepat terutama ketika jumlah pelancong meningkat pada musim kemuncak.
“Selain itu, ketiadaan rumah sampah di Pulau Redang menjadi antara punca utama lambakan sampah bertaburan. Kemudahan itu perlu dibina bagi memastikan pengurusan sisa lebih teratur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merangka beberapa langkah segera bagi memastikan kutipan dan pelupusan sisa pepejal lebih sistematik.
Katanya, antara langkah tersebut adalah meningkatkan kekerapan kutipan sampah daripada selang sehari kepada setiap hari sepanjang musim biasa iaitu dari Mac hingga Oktober manakala kutipan pada musim monsun dari November hingga Februari dilaksanakan secara selang sehari.
“Spesifikasi kontrak baharu turut diperkemas dengan menambah bilangan bot kutipan, menyediakan lebih banyak tong sampah serta menambah tenaga kerja dan aset mengikut keperluan.
“Jadual penghantaran sisa pepejal ke tanah besar juga akan diselaraskan supaya lebih konsisten,” katanya.
Mengulas mengenai kapasiti kemudahan pengurusan sisa pepejal di pulau itu, beliau berkata, kemudahan sedia ada masih mampu beroperasi dengan baik namun berdepan tekanan apabila jumlah pelancong meningkat sehingga dua kali ganda pada musim puncak.
Katanya, pertambahan kehadiran pelancong secara langsung meningkatkan jumlah sisa pepejal yang dijana sekali gus memerlukan sistem pengurusan yang lebih cekap.
“Sehubungan itu, MBKT bercadang melantik syarikat pengurusan sisa pepejal yang menggunakan teknologi lebih moden bagi mengurangkan kadar penghantaran sisa ke tapak pelupusan,” katanya.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, pengusaha chalet, resort dan premis perniagaan turut dipertanggungjawab untuk memastikan sampah dibuang di lokasi yang disediakan.
Menurutnya, MBKT mengadakan pertemuan dengan pengusaha chalet dan resort sebanyak tiga kali setahun bagi membincangkan isu kebersihan dan pengurusan sisa.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk pemeriksaan berkala, pengeluaran notis, kompaun dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan kebersihan.
“Pada masa sama, usaha pendidikan dan kesedaran kepada pengusaha serta pelancong akan terus diperkasakan bagi meningkatkan tahap pematuhan,” katanya.
Beliau berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, bermula 1 Mei 2027, MBKT akan melantik syarikat yang mempunyai kepakaran mengurus sisa pepejal menggunakan teknologi pembakaran (insinerator) bagi memastikan masalah longgokan sampah tidak lagi berulang.
Katanya, langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan yang lebih bersih, mampan dan lestari.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, lambakan sampah di Pulau Redang mampu mencecah sehingga 13 tan metrik sehari ketika musim kemuncak pelancongan, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem pengurusan sisa pepejal. – UTUSAN










