PETALING JAYA: Kualiti Udara di kawasan Serian merekodkan kadar indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 5 petang tadi.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar (JAS), daerah berkenaan mencatatkan bacaan 153.
Dalam pada itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kualiti Udara di negeri berkenaan mencatatkan peningkatan bacaan IPU sejak 10 Julai lepas.
“Sebelas Kawasan berada dalam kategori sederhana iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Lundu, Tebedu dan Lubok Antu,” katanya dalam kanyataan hari ini.
Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) bagi tempoh 1 hingga 26 Julai lalu merekodkan 16 titik panas di Sarawak.
Dalam tempoh sama, sebanyak 1,081 titik panas direkodkan di Kalimantan, Indonesia, termasuk 442 titik panas yang dikesan dalam tempoh lima hari bermula 22 hingga 26 Julai.
NREB memaklumkan Malaysia kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berakhir pada September ini, dengan tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya berpotensi membawa jerebu rentas sempadan ke Sarawak.
“Sarawak berkemungkinan terus mengalami keadaan berjerebu dalam beberapa hari akan datang sekiranya aktiviti pembakaran biojisim di luar sempadan negeri ini terus meningkat,” menurut kenyataan itu.
Bagi mengawal keadaan, NREB sudah mengaktifkan bilik operasi jerebu selain memperhebat rondaan lapangan, membatalkan permit pembakaran terkawal yang diluluskan, menghentikan pengeluaran permit baharu serta mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.
Selain itu, pelbagai program kesedaran mengenai larangan pembakaran terbuka turut dilaksanakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan kualiti udara terus terpelihara.
Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca panas dan kering, termasuk minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng penapis N95 terutama bagi golongan berisiko tinggi yang perlu berada di luar.
NREB turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana tindakan itu boleh menyebabkan pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan awam.
Mereka yang didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa mengikut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Bab 84), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Orang ramai juga diminta membantu memadam kebakaran kecil serta segera melaporkan kejadian pembakaran terbuka kepada pejabat NREB berhampiran atau menerusi talian hotline 082-447488 atau 082-319500,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










