Krisis Gaza makin runcing ketika dunia alihkan perhatian

Krisis Gaza makin runcing ketika dunia alihkan perhatian

Konflik di Gaza masih meruncing.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis kemanusiaan di Gaza bukan sahaja belum menunjukkan tanda-tanda reda, malah semakin meruncing ketika perhatian dunia beralih kepada konflik geopolitik lain di rantau Asia Barat.

Pegawai Perhubungan Awam dan Media Viva Palestina Malaysia (VPM), Noraini Hashim berkata, tanggapan bahawa dunia semakin melupakan Gaza susulan ketegangan melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran mempunyai asas jika dilihat daripada sudut kitaran berita semasa.

Menurut beliau, perubahan tumpuan masyarakat antarabangsa terhadap konflik tersebut memberi ruang kepada rejim Zionis untuk meneruskan serangan dan kezaliman di Gaza dengan perhatian serta tekanan antarabangsa yang semakin berkurangan.

“Apabila konflik beralih kepada pertembungan geopolitik lebih besar melibatkan kuasa besar, media arus perdana cenderung melihatnya sekadar dari lensa keselamatan global dan perang wilayah.

“Namun, dinamika politik serantau ini sama sekali tidak boleh memadamkan penderitaan rakyat Gaza yang terus menjadi mangsa utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Noraini memberi amaran bahawa peralihan fokus antarabangsa ini amat merugikan kerana melemahkan desakan gencatan senjata, selain menyukarkan penyaluran bantuan ekoran penutupan koridor kemanusiaan atas alasan keselamatan.

“Impak jangka panjang yang paling membimbangkan adalah usaha membina semula Gaza akan tertangguh bertahun-tahun lagi.

“Apabila dana antarabangsa dialihkan ke zon konflik baharu, Gaza berisiko ditinggalkan terus dalam runtuhan tanpa infrastruktur asas untuk kelangsungan hidup,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN