Komitmen ESG pemaju hartanah Malaysia kekal kukuh - Utusan Malaysia

Komitmen ESG pemaju hartanah Malaysia kekal kukuh

MBSB Investment Bank memilih saham Sunway Berhad, IOI Properties Group, Mah Sing Group dan Eco World bagi sektor hartanah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komitmen berterusan syarikat pemaju hartanah dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus mengukuhkan kedudukan sektor itu dalam kalangan pelabur apabila kebanyakan syarikat tersenarai berjaya mengekalkan penarafan masing-masing di bawah Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia tahun ini. 

MBSB Research berkata, semakan terkini FTSE Russell pada Jun 2026 menunjukkan kebanyakan syarikat hartanah di bawah liputannya berjaya mengekalkan penarafan ESG masing-masing berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan industri terhadap pengurusan risiko kemampanan.

“Empat syarikat iaitu Sunway Berhad, IOI Properties Group, Mah Sing Group dan Eco World mengekalkan penarafan empat bintang, manakala Matrix Concepts Holdings, S P Setia dan UOA Development terus memperoleh penarafan tiga bintang,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut HLIB, penarafan empat bintang merupakan kategori tertinggi dalam FTSE4Good Bursa Malaysia yang memerlukan skor ESG antara 3.7 hingga 5.0, manakala syarikat perlu memperoleh sekurang-kurangnya skor 2.9 untuk disenaraikan dalam indeks berkenaan.

“Penarafan yang stabil dalam kalangan pemaju hartanah menunjukkan syarikat terus memberi tumpuan kepada pengurusan risiko ESG melalui pelaksanaan inisiatif kemampanan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Menurut firma penyelidikan, antara amalan yang semakin meluas dalam kalangan pemaju ialah pembinaan bangunan hijau, penggunaan sistem solar fotovoltaik (PV), penyediaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta pembangunan bandar dan komuniti mampan.

“Bagaimanapun, HLIB berkata, Malaysia masih mempunyai ruang untuk memperkukuh pelaksanaan ESG dengan mengambil contoh amalan terbaik di Singapura, Australia dan Jepun,” katanya.

Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah pengukuhan standard bangunan hijau menerusi pengenalan syarat minimum kemampanan bagi projek baharu, seperti yang dilaksanakan di Singapura melalui pensijilan Green Mark.

Selain itu, penggunaan pembiayaan hijau dalam kalangan pemaju juga perlu diperluaskan kerana ketika ini ia masih tertumpu kepada beberapa syarikat besar seperti Sunway Berhad dan IOI Properties Group menerusi pinjaman berkaitan kemampanan serta sukuk hijau.

MBSB Research berkata, Malaysia juga masih berada pada peringkat awal dalam pelaksanaan pajakan hijau (green lease), iaitu perjanjian sewaan yang menggalakkan kerjasama antara pemilik bangunan dan penyewa untuk meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon.

“Penggunaan pajakan hijau yang lebih meluas mampu membantu mengurangkan kos operasi bangunan selain meningkatkan prestasi kemampanan aset hartanah,” katanya.

Dalam masa sama, pelaksanaan mekanisme penetapan harga karbon (carbon pricing) turut dikenal pasti sebagai satu lagi bidang yang memerlukan perhatian.

Menurut MBSB Research, kebanyakan pemaju tempatan kini memberi tumpuan kepada pelaporan dan pengurangan pelepasan karbon, namun hanya segelintir syarikat mula mengambil kira kos karbon dalam keputusan pelaburan.

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan berpandangan sokongan dasar yang lebih kukuh, garis panduan yang jelas serta insentif kepada industri mampu mempercepatkan penggunaan mekanisme berkenaan.

HLIB mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor hartanah kerana menjangkakan pengukuhan amalan ESG akan terus meningkatkan daya tahan syarikat dan mewujudkan nilai jangka panjang, namun impaknya terhadap prestasi kewangan dijangka berlaku secara berperingkat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN