KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepatkan usaha melahirkan rakyat yang celik kecerdasan buatan (AI) dan memiliki kemahiran berpendapatan tinggi bagi memastikan aspirasi negara berpendapatan tinggi dapat direalisasikan.
Wakil KoDigital, Samsulkamal Yusof berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital perlu disokong pembangunan modal insan yang mampu menguasai kemahiran baharu selaras dengan perubahan dunia pekerjaan.
Menurutnya, usaha memperkukuh National AI Agenda tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembangunan teknologi, sebaliknya perlu merangkumi pendidikan digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), literasi AI, reskilling dan upskilling.
“Rakyat Malaysia perlu diberikan peluang bukan sahaja untuk memahami dan menggunakan AI, tetapi juga membangunkan kemahiran yang membolehkan mereka mencipta nilai melalui teknologi tersebut.
“Ini termasuk kemahiran dalam AI, analitik data, pembangunan perisian, keselamatan siber, pengkomputeran awan, automasi, pemasaran digital dan keusahawanan digital,” katanya menerusi kenyataan media.
Samsulkamal berkata, penguasaan kemahiran berkenaan penting bagi membolehkan rakyat mengambil bahagian secara lebih aktif dalam sektor ekonomi baharu, pekerjaan bernilai tinggi dan peluang keusahawanan yang berpotensi meningkatkan pendapatan.
Katanya, AI bukan sahaja berpotensi meningkatkan produktiviti, malah mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi serta penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Namun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Untuk memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara meluas, Malaysia memerlukan pembangunan modal insan yang bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
“Justeru, literasi AI, pendidikan digital, TVET, reskilling, upskilling dan kemahiran berpendapatan tinggi perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata, National AI Agenda juga perlu menjadi kerangka yang menghubungkan teknologi, industri, pendidikan, TVET, pembangunan bakat dan keusahawanan menerusi pendekatan whole-of-nation.
Katanya, kerjasama kerajaan, industri, institusi pendidikan, TVET, usahawan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi serta masyarakat penting bagi memastikan agenda AI memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat.
“Dengan membina rakyat yang celik AI dan memiliki kemahiran berpendapatan tinggi, Malaysia bukan sahaja dapat mempercepatkan transformasi ekonomi digital, tetapi turut membina asas ekonomi yang lebih produktif, inovatif dan bernilai tinggi ke arah mencapai aspirasi sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN










