Kesinambungan pembangunan Pilah jadi keutamaan

Kesinambungan pembangunan Pilah jadi keutamaan

NOORZUNITA Begum Mohd. Ibrahim ketika walkabout di Kampung Tanjong Jati, Kuala Pilah. – MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KESINAMBUNGAN pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat menjadi antara perkara yang mahu diteruskan calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, DATUK NOORZUNITA BEGUM MOHD. IBRAHIM, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, FATIN NORIZATI MAT ISA, beliau berkata, pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kebajikan selain memastikan suara rakyat terus menjadi asas dalam membawa isu dan keperluan masyarakat.

MINGGUAN: Apakah antara pen­capaian kerajaan negeri ditadbir PH di Kuala Pilah?

NOORZUNITA: Antara pencapaian terbesar dibawa kerajaan PH adalah pembangunan Dataran Melang yang kini menjadi antara lokasi tumpuan masyarakat.
Selain itu, manifesto PH pada 2018 turut direalisasikan menerusi pembinaan Taman Bandar Besar (TBB) di setiap daerah. Sepanjang tempoh 2018 hingga 2026, banyak pencapaian direkodkan di Kuala Pilah. Semua pembangunan ini memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka panjang.

Apa projek pembangunan yang memberi impak kepada penduduk?

Projek menaik taraf Jalan Seremban-Kuala Pilah menjadi antara pembangunan yang memberi impak besar kepada penduduk. Jalan sepanjang 16.3 kilometer yang dinaik taraf kepada empat lorong dan siap pada Julai 2026 meningkatkan tahap kesalinghubungan selain merancakkan kemasukan pelancong ke Kuala Pilah.

Kerja penurapan jalan kampung dan penyelenggaraan jalan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut meningkatkan kemudahan infrastruktur kepada penduduk.

Pembangunan dilaksanakan bukan sahaja melibatkan pembinaan kemudahan fizikal, malah bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Mengapa kesinambungan pem­bangunan perlu diteruskan?

Kuala Pilah perlu membangun supaya penduduk khususnya golongan muda dapat menikmati peluang pembangunan yang sama seperti di daerah-daerah lain di Negeri Sembilan.

Pembangunan ekonomi juga perlu bergerak seiring dengan usaha memperluaskan peluang pekerjaan supaya lebih ramai anak muda dapat terus bekerja di Kuala Pilah.

Saya mahu memastikan pembangunan di Kuala Pilah terus dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat. Pembangunan bukan hanya berkaitan kemudahan fizikal, tetapi turut melibatkan aspek pendidikan, ekonomi, kesihatan dan kebajikan rakyat.

Perancangan dalam sektor pendidikan?

Pendidikan menjadi antara aspek yang perlu terus diperkasakan supaya anak-anak muda mempunyai akses lebih luas kepada peluang pembelajaran.

Kuala Pilah mempunyai kemudahan pendidikan seperti matrikulasi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jika diberi mandat, saya mahu lebih banyak kemudahan pendidikan diwujudkan termasuk pusat-pusat pembelajaran yang boleh diakses dengan lebih mudah bagi membantu pelajar mendapatkan sumber pembelajaran.

Bagaimana pula daripada segi kebajikan warga emas?

Di Kuala Pilah, kebajikan warga emas dijaga sebaik mungkin. Banyak agensi membantu mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

Selain itu, Kerajaan Negeri Sembilan turut melaksanakan pelbagai inisiatif kerana kita sentiasa menyantuni golongan ini yang memerlukan kasih sa­yang dan perhatian.

Banyak program dilaksanakan dengan kerjasama agensi. Contohnya, JKM mempu­nyai Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap daerah. Melalui pusat ini, warga emas dapat menyertai pelbagai aktiviti supaya mereka tidak berasa murung atau keseorangan di rumah, sebaliknya dapat bersama komuniti masing-masing.

Sepanjang tiga tahun bermula 2024 hingga 2026, terdapat satu lagi inisiatif yang mendapat sambutan baik iaitu Bantuan Keceriaan Warga Emas sebagai tanda penghargaan kepada golongan yang telah banyak berjasa kepada keluarga dan negeri.

Namun, sepanjang dua tahun setengah berkhidmat, saya menerima rungutan bahawa warga emas memerlukan kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik.

Contohnya, walaupun ada perkhidmatan teksi, penggunaannya tidak begitu meluas. Ramai mengetahui mengenai perkhidmatan bas ‘merah jambu’ (BAS.MY) percuma untuk warga emas, tetapi mereka sukar mengaksesnya.

Jika diberi mandat, saya akan berusaha mencari mekanisme terbaik supaya perkhidmatan bas itu dapat diperluaskan ke kawasan kampung dan lokasi yang lebih dekat dengan rakyat. Sebelum ini laluan bas lebih tertumpu di jalan utama. Jadi, kita mahu memastikan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat.

Apakah agenda dalam sektor kesihatan?

Pembangunan kemudahan perubatan turut menjadi antara agenda penting bagi memastikan rakyat mendapat akses ra­watan yang lebih baik.

Bangunan baharu Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bernilai RM153 juta yang kini telah beroperasi membantu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.

Selain itu, pembinaan hospital swasta baharu di Juasseh menjadi antara usaha untuk memperkukuh kemudahan kesi­hatan di Kuala Pilah. Hospital swasta berkenaan membabitkan pelaburan RM150 juta dengan kapasiti 120 katil yang dijangka dibuka pada 2028.

Inisiatif disediakan untuk membantu rakyat?

Kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan menerusi Bantuan Negeri Sembilan 2026.

Antaranya adalah bantuan kepada golongan belia seba­nyak RM500, bantuan institusi pe­ngajian tinggi (IPT) antara RM500 hingga RM1,500, bantuan pesakit kanser RM1,000 serta Bantuan Warga Emas RM200.

Semua inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat dan meningkatkan kese­jahteraan mereka.

Pendekatan Datuk sebagai wakil rakyat?

Apabila diamanahkan menjadi wakil rakyat, kita perlu berkhid­mat untuk semua lapisan masyarakat tanpa me­ngira latar belakang.

Kuala Pilah mempunyai ke­unikan tersendiri kerana ma­syarakatnya hidup dalam kea­daan harmoni yang terdiri da­ri­pada Melayu, Cina dan India.

Sepanjang berkhidmat, saya tidak pernah memfokuskan kepada satu kaum sahaja, sebaliknya menjaga semua kerana suara mereka perlu saya angkat.

Segala dasar dan polisi perlu dibuat berdasarkan suara rak­yat. Sebagai wakil rakyat, saya menjadi platform untuk membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi.

PROFIL CALON PH DUN PILAH 
Nama: Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim
Umur: 46 tahun
Tempat lahir: Selangor
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu & Sarjana Pengurusan Pendidikan
Kerjaya: Usahawan
Jawatan Politik:
* Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Negeri Sembilan
* Ahli EXCO Negeri Sembilan (2023 hingga 2026)
* Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan (September 2022)

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN