TANJUNG MALIM: Sebuah kereta Porsche 718 Clayman GTS berwarna hijau terbakar 65 peratus dalam kejadian di Kilometer 348, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Selatan Sungkai, Bidor dekat sini kira-kira pukul 3.59 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran kenderaan jenis mewah tersebut tidak melibatkan mangsa yang mengalami kecederaan.
“Setiba jentera bomba di lokasi kejadian, kebakaran sedang marak hampir 60 peratus. Ketua operasi melakukan penilaian awal situasi dan mengamalkan konsep lima langkah taktikal utama iaitu RECEO.
“Anggota diarahkan memakai alat pelindung diri (PPE) lengkap dan melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula serta pancutan buih bersumberkan bekalan air dari tangki jentera,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.42 petang tadi.
Sebuah kereta Porsche 718 Clayman GTS dianggarkan berharga RM330,000 hingga RM585,000 mengikut tahun keluaran dan aksesori tambahan yang sama harganya dengan sebuah rumah teres setingkat. – UTUSAN










