KUALA LUMPUR: Kerajaan kini meneliti mekanisme kawalan ibu bapa (parental controls) terhadap akaun media sosial anak-anak mereka dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di platform digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang dilakukan bagi memperhalusi perkara itu kerana fokus utama kerajaan adalah menghalang interaksi antara kanak-kanak dengan individu dewasa yang tidak dikenali.
Katanya, ia sekali gus dapat mengurangkan risiko jenayah seksual dalam talian.
“Apa yang berlaku di Sabah mungkin tiga ke empat bulan yang lalu ada satu kes di mana seorang lelaki telah dihukum penjara 10 tahun kerana telah merogol seorang kanak-kanak 15 tahun yang berkawan dengan lelaki itu melalui TikTok.
“Maksudnya akaun TikTok kanak-kanak ini telah diceroboh oleh orang dewasa untuk berkawan dan kemudiannya diperlakukan secara seksual. Ini yang kita tidak mahu berlaku.
“Kanak-kanak jadi mangsa. Tetapi harapan kita literasi digital dalam kalangan ibu bapa perlu dipertimbangkan. Ini kita mula laksanakan sejak tahun lalu melalui kempen Internet Selamat,” katanya ketika sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menyambut baik cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai pengecualian terhadap platform YouTube sekiranya larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dilaksanakan.
Ia memandangkan platform itu menawarkan pelbagai kandungan pendidikan dan tidak memberi penekanan kepada interaksi melalui mesej langsung (DM) seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
Katanya, cadangan itu selari dengan amalan beberapa negara maju yang melaksanakan undang-undang sama, apabila YouTube diberikan pengecualian kerana nilai pendidikannya, manakala platform yang membolehkan komunikasi secara langsung lebih berisiko disalahgunakan oleh individu tidak dikenali.
Selain itu, Syed Saddiq turut mencadangkan pelaksanaan sistem opt-in, iaitu secara asasnya kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.
namun pengecualian boleh diberikan jika akaun tersebut dikendalikan ibu bapa dengan ciri keselamatan tertentu selain tanggungjawab undang-undang terhadap penggunaannya diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa. – UTUSAN








