PARLIMEN: Larangan akaun media sosial bawah 16 tahun tidak boleh diputus secara tergesa gesa

PARLIMEN: Larangan akaun media sosial bawah 16 tahun tidak boleh diputus secara tergesa gesa

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menghadkan pembukaan akaun media sosial kepada pengguna berumur bawah 16 tahun tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan penelitian dari sudut teknikal dan dasar sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Malaysia sedang mengkaji model yang diguna pakai Australia, yang dijangka menjadi negara pertama melaksanakan larangan tersebut pada 4 Disember ini, namun pendekatan tempatan mungkin berbeza.

“Australia menggunakan sistem ‘age assurance’ tanpa bergantung kepada kad pengenalan, pasport atau proses eKYC. Mereka membuat anggaran umur berdasarkan analisis kandungan atau foto yang dimuat naik pengguna.

“Malaysia pula sedang meneliti kaedah ‘age verification’ yang memerlukan eKYC, iaitu proses pengesahan identiti digital. Keperluan teknikalnya lebih tinggi dan pelaksanaannya tidak mudah. Kita perlu memastikan semua platform mampu memenuhi standard itu sebelum ia diwajibkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen termasuk dari Bayan Baru, Jerantut, Balik Pulau dan Bukit Gelugor turut meminta penjelasan berhubung kemungkinan meletakkan tanggungjawab tambahan kepada ibu bapa sekiranya had umur tersebut dikuatkuasakan.

Nie Ching mengakui perkara itu sensitif, namun perlu dibincangkan secara jelas.

“Persoalannya, apakah Malaysia bersedia mengenakan tindakan terhadap ibu bapa jika anak bawah 16 tahun masih membuka akaun media sosial? Di Australia, hanya platform dikenakan tanggungjawab, bukan ibu bapa.

“Kita juga sering melihat keadaan di restoran, ibu bapa memberikan telefon atau iPad tanpa pemantauan. Tanpa pengawasan, risiko tetap ada walaupun undang-undang diwujudkan,” katanya.

Menurutnya, biarpun internet membawa banyak manfaat terutama untuk tujuan pendidikan, peranan ibu bapa tetap menjadi faktor utama.

“Saya sendiri mempunyai tiga anak. Mereka perlukan internet untuk tugasan sekolah, Google Classroom atau kelas muzik. Tetapi ibu bapa tetap perlu kawal apa yang mereka akses,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nie Ching menegaskan isu ketagihan digital dan keselamatan kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada Kementerian Komunikasi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai kementerian, agensi serta peranan ibu bapa.

Katanya lagi, kerajaan tidak akan mengambil langkah meniru bulat-bulat keputusan negara lain dalam isu yang mempunyai implikasi besar seperti ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN