KUALA LUMPUR: Malaysia bukan negara pertama yang mengambil pendekatan menghadkan umur minimum 16 tahun bagi membuka akaun media sosial, sebaliknya beberapa negara lain telah pun memulakan inisiatif serupa.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Australia akan mewajibkan semua platform media sosial menutup akaun pengguna berusia bawah 16 tahun menjelang Disember ini.
Katanya, pelaksanaan dasar seumpama itu sedang diperhalusi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi kini mengadakan perbincangan berterusan dengan penyedia platform.
“Buat masa ini, kaedah yang digunakan Australia adalah penilaian usia (age assessment) bagi mengesahkan sama ada pemilik akaun berumur lebih 16 tahun atau tidak.
“Cadangan kerajaan adalah menggunakan MyDigital ID sebagai salah satu mekanisme untuk mengesahkan umur pengguna media sosial.
“Perkara ini akan dibincangkan secara lebih terperinci dengan penyedia platform supaya kita dapat memastikan pengguna bawah 16 tahun tidak memiliki akaun media sosial,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) mengenai cabaran pelaksanaan larangan tersebut khususnya melibatkan pematuhan platform antarabangsa seperti TikTok.
Semalam, kerajaan mengumumkan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak lagi dibenarkan memiliki akaun media sosial sendiri apabila larangan berkenaan dikuatkuasakan mulai 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan mengekang peningkatan jenayah siber melibatkan golongan muda, selain melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi secara atas talian.
Katanya, ia merupakan antara inisiatif kerajaan menerusi kementeriannya untuk mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi mereka daripada pemangsa seksual (pedofil).
“Ini adalah keputusan Kabinet. Kita berharap semua platform media sosial dapat mematuhi arahan kerajaan menjelang tahun depan bagi menghalang pembukaan akaun baharu oleh kanak-kanak bawah 16 tahun,” katanya. – UTUSAN










