Kerajaan peroleh RM5 bilion hasil kawalan perbelanjaan

Kerajaan peroleh RM5 bilion hasil kawalan perbelanjaan

LIEW Chin Tong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperoleh hampir RM5 bilion setakat 14 Julai lalu susulan pelaksanaan langkah kawalan perbelanjaan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah tersebut berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat serta kestabilan ekonomi negara.

“Kementerian Kewangan (MOF) pada 29 April lalu telah mengeluarkan arahan pelarasan peruntukan berjumlah RM10 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) 2026 merentasi semua kementerian dan agensi kerajaan.

“Susulan itu, MOF mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi bagi memberikan penjelasan mengenai kriteria kawalan perbelanjaan yang perlu dilaksanakan berikutan krisis rantaian bekalan global yang berlaku. 

“Hasil intervensi awal yang telah dilaksanakan kerajaan, Malaysia kekal stabil walaupun berdepan krisis rantaian bekalan global dan kesan daripada perang di Iran,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail berhubung penjimatan bajet semua kementerian, jumlah peruntukan yang dipotong serta kajian impak yang dilaksanakan terhadap pemotongan tersebut.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kementerian dan agensi diberi ruang menyusun semula perbelanjaan masing-masing berdasarkan keutamaan serta keperluan semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Katanya, MOF juga sentiasa terbuka untuk meneliti dan membincangkan sebarang keperluan mendesak yang dikemukakan oleh kementerian dan agensi, tertakluk kepada kedudukan fiskal kerajaan serta keutamaan perbelanjaan semasa.

“Pelarasan perbelanjaan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal antaranya termasuk menangguh atau mengecilkan skala acara, majlis, keraian rasmi kerajaan dan persidangan.

“Ia turut melibatkan mengehadkan perjalanan bertugas rasmi kepada perjalanan yang benar-benar perlu sahaja dengan bilangan pegawai minimum serta melaksanakan mesyuarat secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, pelarasan itu juga melibatkan penangguhan pewujudan perjawatan baharu serta pengambilan penjawat awam baharu kecuali jawatan kritikal dalam sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara yang tertakluk kepada kawalan ketat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta MOF.

“MOF komited memastikan pelarasan perbelanjaan ini dilaksanakan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal terutamanya perkhidmatan kesihatan, subsidi, bantuan dan insentif kepada rakyat.

“Ini termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan kebajikan masyarakat, insentif kepada sektor pertanian, bantuan persekolahan dan lain-lain bantuan yang telah diberi komitmen oleh kerajaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN