Kempen berkesan mampu bantu PH pertahankan Ampangan

Kempen berkesan mampu bantu PH pertahankan Ampangan

MUHAMMAD Nazri Kassim bertemu penyokongnya di Pusat Penamaan Calon Majlis Bandaraya Seremban, Forest Heights, Seremban hari ini. -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim tidak memandang mudah cabaran untuk mempertahankan kemenangan di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Katanya, gerak kerja kempen pilihan raya perlu diperkemaskan dan dilakukan secara teratur supaya momentum sokongan kepada PH bertambah baik menjelang hari pengundian kelak.

“Sehingga kini, peluang untuk PH menang DUN Ampangan adalah 50/50 walaupun PH menduduki kerusi berkenaan selama dua penggal sejak 2018.

“Kami perlu memastikan kempen pilihan raya bergerak dengan meluas meliputi seluruh kawasan dalam DUN ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Wisma Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Pada PRN 2023, PH mempertahankan kemenangan di DUN Ampangan melalui calonnya Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dengan majoriti tipis 329 undi.

Sebelum itu, pada PRN 2018, PH merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,306 undi melalui Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek.

DUN Ampangan yang dibentuk pada 1984 secara tradisinya disandang oleh BN tetapi mula bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat (PR)(sebelum dikenali sebagai PH) pada PRU 2008, juga dengan majoriti tipis 236 undi.

Kini, Muhammad Nazri berdepan dengan dua pesaing iaitu Perikatan Nasional (PN) dengan calonnya, Mohamad Rafie yang menang kerusi tersebut sebagai calon PH pada 2018 dan Noor’azah Harun dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebab itu, kata Muhammad Nazri, peluang untuk menang tidak mudah jika gerak kerja pilihan raya tidak dilakukan dengan betul dan berkesan.

“Saya akan cuba menemui seramai mungkin daripada kalangan 21,336 pengundi berdaftar di DUN ini dengan harapan dapat menarik sokongan mereka. Tempoh kempen kira-kira dua minggu ini perlu dimanfaatkan sebaik yang mungkin untuk mencapai hasrat tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN