PETALING JAYA: Jawatankuasa Penganjur Malaysia Blockchain Week 2026 menafikan Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terlibat dalam perancangan, kelulusan atau promosi acara after-party sempena Malaysia Blockchain Week 2026 termasuk pemilihan tetamunya, Siew Pui Yi
Jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memohon maaf berhubung kontroversi membabitkan bahan promosi majlis berkenaan dan menjelaskan bahawa pihak kerajaan termasuk Kementerian Digital serta MDEC tidak terlibat dalam perkara berkenaan.
“Kami ingin menjelaskan secara tegas bahawa Kementerian Digitak dan MDEC tidak dirujuk, tidak terlibat serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pemilihan individu yang dipaparkan, atau dengan penganjuran dan promosi majlis sampingan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular promosi program After-Party Malaysia Blockchain Week 2026 pada 30 Julai di media sosial dan dikecam netizen kerana melibatkan seorang bekas pencipta kandungan dewasa yang dikenali sebagai Miss Pui Yi.
Pemilik nama sebenarnya Siew Pui Yi, 28, itu pernah aktif menghasilkan kandungan di platform langganan dewasa (OnlyFans) sebelum mengumumkan penarikan diri dan pemadaman kandungan tersebut untuk beralih arah kerjaya.
Dalam pada itu kenyataan tersebut berkata, segala keputusan berkaitan majlis sampingan dibuat secara bebas oleh penganjurnya sendiri dan tidak mewakili pandangan, penglibatan atau sokongan mana-mana pihak sama ada kementerian mahupun MDEC.
Jawatankuasa berkenaan turut mengakui bahawa penelitian yang lebih rapi sepatutnya diberikan bagi memastikan setiap aktiviti dan bahan promosi yang dikaitkan dengan MYBW mencerminkan tahap profesionalisme yang sewajarnya bagi sebuah acara yang membabitkan pihak industri dan sektor awam.
Susulan kebimbangan yang dibangkitkan, penganjur memaklumkan langkah pembetulan telah diambil bagi menangani isu tersebut serta memastikan majlis sampingan itu dibezakan dengan jelas daripada program persidangan rasmi.
“Berkuat kuasa serta-merta, semua bahan promosi berkaitan majlis sampingan berkenaan telah ditarik balik,” katanya.
Meskipun berdepan kontroversi, jawatankuasa menegaskan MYBW 2026 akan tetap berlangsung seperti dijadualkan, dengan tumpuan kekal kepada usaha memperlihatkan inovasi, memudahkan penglibatan industri serta menyokong pertumbuhan ekosistem blockchain dan aset digital negara.
Jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa proses kelulusan dalaman dan tadbir urus acaranya sedang dikaji semula bagi memperkukuh pengawasan dan akauntabiliti pada masa hadapan.-UTUSAN










