Kekeliruan prosedur kargo petroleum jejas industri, kastam diminta beri penjelasan segera - Utusan Malaysia

Kekeliruan prosedur kargo petroleum jejas industri, kastam diminta beri penjelasan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa memberi penjelasan berhubung pelaksanaan prosedur deklarasi K8 yang didakwa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri petroleum sehingga menjejaskan kelancaran urusan perniagaan di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan semua pihak memahami tafsiran dan pelaksanaan sebenar prosedur K8, khususnya melibatkan pengendalian kargo petroleum selepas ia dipunggah ke dalam tangki simpanan.

Katanya, tindakan menghubungi JKDM itu adalah langkah susulan selepas laporan dibuat kepada SPRM sebelum ini berhubung dakwaan percanggahan antara dokumen bil muatan (Bill of Lading) dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di sebuah terminal di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.

“Saya telah memaklumkan kepada SPRM bahawa saya telah menghantar e-mel kepada JKDM bagi mendapatkan penjelasan rasmi.

“Apa yang saya mahukan ialah kepastian mengenai bagaimana prosedur K8 sepatutnya dilaksanakan selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan kepada JKDM ialah status kargo yang diisytiharkan di bawah deklarasi K8 selepas memasuki sistem tangki simpanan, termasuk sama ada kargo berkenaan perlu kekal diasingkan sepanjang tempoh penyimpanan.

Selain itu, katanya, beliau turut memohon penjelasan mengenai kaedah pemantauan oleh pihak kastam selepas kargo dipunggah ke tangki simpanan, mekanisme kebolehkesanan (traceability) antara dokumentasi dan kargo fizikal serta prosedur bagi memastikan kargo yang dieksport adalah selaras dengan deklarasi asal.

“Saya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap JKDM atau mana-mana pihak. Saya hanya mahu mendapatkan penjelasan rasmi supaya industri mempunyai kefahaman yang jelas mengenai pelaksanaan sistem K8 mengikut kehendak undang-undang,” katanya.

Menurut Jeyenderan, ketidakpastian mengenai pelaksanaan prosedur berkenaan perlu ditangani dengan segera kerana ia melibatkan operasi harian pemain industri petroleum, termasuk aspek penghantaran kargo, dokumentasi perdagangan, pembiayaan, insurans dan pematuhan kawal selia.

“Setiap kelewatan mendapatkan penjelasan memberi implikasi kepada urusan perniagaan. Pemain industri memerlukan kepastian supaya operasi dapat berjalan berdasarkan prosedur yang jelas.

“Malaysia sedang membangunkan kedudukannya sebagai hab penyimpanan dan pemindahan petroleum serantau. Oleh itu, sebarang kekeliruan mengenai pelaksanaan prosedur perlu diperjelaskan dengan kadar segera bagi memastikan keyakinan pemain industri dan pelabur terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap JKDM dapat memberikan maklum balas rasmi terhadap persoalan yang dibangkitkan supaya semua pihak mempunyai tafsiran yang sama mengenai pelaksanaan deklarasi K8.

“Jika prosedur sedia ada sememangnya membenarkan amalan tertentu, maka biarlah ia dijelaskan secara rasmi. Jika terdapat ruang untuk penambahbaikan, perkara itu juga boleh diteliti demi memperkukuhkan tadbir urus dan ketelusan sistem,” katanya.

Jeyenderan berkata, penjelasan daripada JKDM bukan sahaja penting kepada pemain industri, malah dapat membantu mengelakkan salah tafsir terhadap prosedur sedia ada serta meningkatkan keyakinan terhadap sistem kawal selia negara.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam perkara berkaitan dan berharap penjelasan daripada JKDM dapat membantu memperjelaskan isu yang dibangkitkan demi kepentingan industri serta menjaga reputasi Malaysia sebagai hab perdagangan petroleum dan logistik maritim yang diyakini di peringkat antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN