KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan sebanyak RM9.3 juta bagi melaksanakan program pembangunan sukan berbasikal trek sepanjang tahun ini sebagai usaha memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan itu di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menterinya, Mordi Bimol berkata, peruntukan berkenaan merupakan pelan jangka panjang yang melibatkan pelaksanaan Program Podium, Program Pelapis dan Program Pembangunan Sukan Olimpik dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
“Peruntukan ini meliputi pelbagai aspek sokongan seperti pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan pusat latihan, pendedahan pertandingan dan latihan, perkhidmatan perubatan dan sains sukan serta program binaan.
“Bantuan turut disalurkan kepada PKBM termasuk elaun pegawai eksekutif sukan, bantuan pentadbiran pejabat serta geran penganjuran kejohanan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai pelan jangka panjang kementerian bagi memastikan kecemerlangan sukan berbasikal trek negara tidak terjejas susulan hasrat Pengarah Teknikal, John Beasley untuk berundur.
Mengulas penglibatan Beasley, Mordi berkata, beliau telah bersetuju untuk membantu merangka Pelan Pembangunan Berbasikal Negara bagi tempoh 10 tahun sebagai dokumen strategik pembangunan sukan itu.
“Buat masa ini, penyediaan pelan tersebut masih pada peringkat awal perbincangan antara MSN dan PKBM.
“Beliau (Beasley) juga bakal mengemukakan cadangan pelantikan seorang jurulatih berprestasi tinggi, bagi memperkukuh keupayaan serta meningkatkan kompetensi barisan jurulatih tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KBS menerusi MSN turut memperuntukkan RM3 juta bagi penganjuran 11 siri Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) pada tahun ini sebagai platform pembangunan bakat muda dengan penyertaan seramai 820 atlet dalam empat siri kejohanan setakat ini.
Bagi memperkasakan kepakaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada jurulatih asing, Mordi berkata kementerian juga menumpukan tumpuan kepada pelbagai inisiatif pensijilan dan latihan berterusan di bawah Institut Sukan Negara (ISN) termasuk Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) serta program penandaarasan seperti National Sport Coaching Dialogue dan NextGen Coach.
Katanya, sukan berbasikal telah ditetapkan sebagai Sukan Teras Prestasi Tinggi bagi tempoh 2025 hingga 2028 dengan tumpuan penuh diberikan kepada pembangunan atlet bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Sehingga kini, pelaksanaannya melibatkan 386 atlet, 32 jurulatih dan 30 pusat latihan di seluruh negara, selain penyertaan pasukan kebangsaan dalam 21 kejohanan dalam dan luar negara bagi program podium dan program pelapis sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN










