KUANTAN: Pasangan suami isteri dari Kampung Batu Hitam, Beserah merayu sumbangan orang ramai untuk mengumpul dana sebanyak RM300,000 untuk menghantar anak bongsu mereka menjalani rawatan kanser di China sebagai harapan terakhir.
Jumlah itu diperlukan bagi membolehkan Nur Adelya Mikayla Mohd. Suhaimi, 2, yang menghidap kanser Neuroblastoma tahap empat mendapatkan kaedah rawatan alternatif di sebuah hospital di negara berkenaan, khusus bagi pesakit kanser tahap tinggi.
Biarpun sedar peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah tipis memandangkan penyakit itu sudah berada pada tahap akhir, ibu bapanya enggan berputus asa dan sanggup melakukan apa sahaja demi memberi peluang terakhir buat anak bongsu mereka meneruskan kehidupan dengan kualiti hidup yang lebih baik.
Ibunya, Nur Akhirah Mat Taib, 30, berkata, mereka kini masih berbincang dengan doktor yang menguruskan kemasukan pesakit ke hospital berkenaan bagi menentukan bentuk rawatan paling sesuai untuk Nur Adelya Mikayla.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kos rawatan mencakupi enam sesi rawatan, pemeriksaan susulan dan perbelanjaan sepanjang berada di China yang dianggarkan mencecah RM300,000, satu jumlah yang cukup besar dan di luar kemampuan mereka.
“Doktor di sana memaklumkan mereka tidak dapat menjanjikan anak saya sembuh sepenuhnya kerana keadaannya sudah terlalu serius, namun rawatan itu mungkin dapat memberikan kualiti hidup yang lebih baik sementara dia masih ada bersama kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nur Akhirah berkata, anak kedua daripada dua beradik itu disahkan menghidap Neuroblastoma tahap empat pada 16 Julai lalu selepas kerap mengadu sakit kaki dan demam berpanjangan sejak Mei.
Menurutnya, ketumbuhan dikesan di bahagian perut berhampiran tulang belakang sebelum merebak ke belakang tulang hidung sehingga menyebabkan hidung anaknya kerap berdarah, dahi membengkak, penglihatan merosot dan gagal berjalan.
Lebih menyedihkan, katanya, doktor memaklumkan Nur Adelya Mikayla tidak sempat menjalani rawatan kimoterapi kerana penyakitnya sudah terlalu serius dan hanya sesuai menerima rawatan paliatif bagi mengurangkan kesakitan.
“Keputusan mendapatkan rawatan di China dibuat selepas mendapat maklumat daripada pesakit kanser lain yang pernah berikhtiar di sana, walaupun saya dan suami masih menunggu penjelasan terperinci daripada pihak hospital terbabit,” katanya.
Suri rumah itu turut memaklumkan suaminya yang bekerja kilang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak tiga bulan lalu bagi menjaga Nur Adelya Mikayla di hospital dan kini hanya melakukan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun Maybank milik Nur Akhirah Mat Taib di nombor 156169294687 atau menghubungi bapanya, Mohd. Suhaimi di talian 0123458376.-UTUSAN










