JS-SEZ sasar kerjasama erat Itali, Kesatuan Eropah

JS-SEZ sasar kerjasama erat Itali, Kesatuan Eropah

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir beramah mesra bersama tetamu yang hadir selepas Forum Eksekutif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyasarkan kerjasama lebih erat dengan Itali dan Kesatuan Eropah dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, inovasi dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan daya saing zon ekonomi khas berkenaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pembangunan bakat akan dijadikan teras utama JS-SEZ bagi memastikan pelaburan memberi impak lebih luas melalui pemindahan teknologi, pengukuhan industri serta penciptaan laluan kerjaya berkualiti kepada generasi muda.

Katanya, kerjasama dengan Itali dan rakan Eropah amat penting khususnya dalam latihan industri, pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelidikan serta kerjasama universiti-industri bagi melahirkan tenaga kerja masa depan yang berkemahiran tinggi.

“Kerjasama itu juga dijangka memperkukuh ekosistem inovasi, mempercepat pemindahan teknologi, meningkatkan standard industri serta menyokong transformasi digital dan amalan kelestarian dalam ekosistem pelaburan JS-SEZ.

“Dalam dunia yang semakin kompleks, kejayaan akan bergantung kepada kerjasama yang dipercayai dan rangkaian pertumbuhan yang berdaya tahan,” katanya sempena Forum Eksekutif JS-SEZ di sini, semalam.

Menurut beliau, kejayaan JS-SEZ akan diukur bukan hanya melalui pengumuman pelaburan, tetapi melalui pelaksanaan projek, penciptaan pekerjaan, pembangunan kemahiran serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Kami kekal komited memastikan JS-SEZ menjadi platform pelaburan dan inovasi bertaraf global, sambil menyeru kerjasama lebih erat dengan Itali, komuniti perniagaan Eropah dan pelabur antarabangsa bagi merealisasikan potensi penuh zon ekonomi tersebut,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, JS-SEZ menggabungkan kekuatan industri Malaysia seperti tenaga kerja mahir, tanah dan infrastruktur kompetitif dengan keupayaan kewangan Singapura, rangkaian global serta ekosistem perkhidmatan bertaraf dunia.

Katanya, sinergi ini menawarkan kelebihan unik kepada pelabur yang ingin memanfaatkan pertumbuhan pesat di Asia, khususnya dalam kalangan syarikat Eropah yang terkenal dengan kepakaran dalam reka bentuk industri, pembuatan berteknologi tinggi, inovasi dan kejuruteraan.

“Bagi syarikat dari Itali dan seluruh Kesatuan Eropah, JS-SEZ merupakan platform yang sangat relevan kerana mereka mempunyai kekuatan dalam inovasi, pembangunan produk, reka bentuk industri dan teknologi maju,” katanya.

Menurutnya, JS-SEZ berpotensi menjadi hab penting bagi sektor strategik seperti semikonduktor dan elektronik, pembuatan maju, teknologi digital, tenaga hijau, logistik, mobiliti pintar serta infrastruktur sokongan, sejajar dengan perubahan rantaian bekalan global yang semakin pelbagai.

Katanya, perkembangan awal zon ekonomi khas itu amat memberangsangkan dengan 50 projek telah digerakkan, selain potensi mewujudkan kira-kira 20,000 pekerjaan berkualiti dalam tempoh lima tahun pertama, dengan sasaran 100 projek dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu, Duta Itali ke Kuala Lumpur, Raffaele Langella berkata, pelaburan yang disasarkan perlu memenuhi keperluan syarikat-syarikat Itali untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem perniagaan dan rantaian nilai global yang lebih luas.

“Apa yang kami cari ialah projek-projek berkualiti tinggi. Tumpuan kami bukan sekadar pelaburan secara umum, tetapi pelaburan yang mampu menyokong syarikat-syarikat Itali untuk berintegrasi dalam ekosistem yang lebih luas,” katanya.

Menurut beliau, Itali turut memberi tumpuan kepada pembangunan latihan tenaga kerja bagi menyokong industri berteknologi tinggi, selaras dengan peningkatan pelaburan negara itu dalam sektor berkenaan.

Beliau berkata, satu delegasi daripada syarikat Itali yang terlibat dalam industri tersebut dijangka mengadakan lawatan ke JS-SEZ dalam masa terdekat bagi meneroka peluang kerjasama dan pelaburan.

“Kami sedang mengusahakan perkara itu dan jumlah syarikat Itali yang berminat untuk melabur serta terlibat secara langsung dalam inisiatif seperti JS-SEZ terus meningkat dari hari ke hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN