PETALING JAYA: Spesies ikan endemik paracanthocobitis phuketensis atau Phuket Zipper Loach merupakan antara penemuan baharu hasil Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Bukit Perangin, Kedah selama enam hari bermula Ahad lalu.
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) berkata, ekspedisi yang dianjurkan bersama Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah itu turut merekodkan pelbagai spesies flora dan fauna yang mempunyai nilai konservasi tinggi.
Katanya, antara penemuan lain ialah dua spesies pepatung iaitu tetrathemis platyptera (Pigmy Skimmer) dan mortonagrion aborense (Blue Midget).
“Penyelidik turut merekodkan dua spesies pokok iaitu Aglaia palembanica (Bekak) dan Pterospermum grewiifolium (Bayur), di samping enam spesies halia terdiri daripada Globba sessiliflora, Zingiber puberulum, Meistera lappaceum, Meistera aculeata, Zingiber montanum dan Hornstedtia conica.
“Ekspedisi berkenaan turut menemukan satu spesies orkid iaitu Didymoplexiella sp., tiga spesies pokok bukan dipterokarpa iaitu Stichoneuron caudatum, Xylopia sumatrana (Jangkang) dan Koilodepas longifolium (Semantum/Kilas),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyelidik turut merekodkan beberapa spesies kulat dan fungi termasuk climacodon dubitativus (Tropical Tooth Fungus), cymatoderma sp., russula sp. (Red Russula) dan rhizopogon sp.
Ekspedisi melibatkan seramai 104 penyelidik daripada pelbagai bidang yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT), jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta serta penyelidik persendirian.
Katanya, penemuan itu akan menjadi asas penting dalam usaha memperkukuh pemuliharaan biodiversiti Hutan Simpan Bukit Perangin selain membantu penyelidikan saintifik berkaitan khazanah biodiversiti negara.
Hutan Simpan Bukit Perangin yang diwartakan pada tahun 1953 mempunyai keluasan kira-kira 13,296 hektar dan merupakan ekosistem hutan bukit yang kaya dengan biodiversiti.
“Kawasan ini turut memainkan peranan penting sebagai habitat hidupan liar, kawasan tadahan air serta destinasi ekopelancongan dan rekreasi alam semula jadi.
“Penemuan-penemuan ekspedisi ini akan menyumbang kepada pengukuhan data saintifik dan membantu pengurusan, pemeliharaan serta pembangunan sumber biodiversiti Hutan Simpan Bukit Perangin secara lestari,” jelasnya.-UTUSAN










