JEMPOL: Persaingan tiga penjuru bakal mewarnai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting dan Palong, manakala DUN Jeram Padang menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penyandang DUN Serting, Fairuz Isa dari Perikatan Nasional (PN) bakal berdepan saingan daripada Yaacob Mahmood (Pakatan Harapan) dan Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh (Bersatu).
Sementara itu, DUN Palong turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandangnya, Datuk Mustapha Nagoor (BN) yang akan dicabar Zahin Zinal Abidin (PH) dan Rebin Birham (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
Bagi DUN Jeram Padang pula, saingan empat penjuru dijangka berlaku antara penyandangnya, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (BN), calon PH, G. Manivannan, R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia.
Pada PRN lalu, Mohd. Zaidy berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 693 undi sekaligus menjadikan DUN berkenaan antara kerusi marginal di Negeri Sembilan.
Sementara itu, DUN Bahau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya, Teo Kok Seong (PH) dan Chong Fui Ming (BN).
Pengumuman rasmi calon bagi keempat-empat kerusi berkenaan dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol sebentar tadi. – UTUSAN










