Jangan sentuh isu-isu sensitif

Jangan sentuh isu-isu sensitif

KAKITANGAN Majlis Bandaraya Seremban (MBS) ketika melakukan simulasi bagi persiapan hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Wisma Majlis Bandaraya Seremban, semalam.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua calon dan parti terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang penamaan calon bermula hari ini diingatkan tidak menyentuh isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.

 Peringatan itu penting berikutan terdapat pihak tertentu yang mula membangkitkan isu dan  polemik berkaitan institusi diraja, pembesar dan adat di Negeri Sembilan yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Tindakan sedemikian dikhua­tiri digunakan sebagai modal politik untuk meraih sokongan dan undi dengan membangkitkan sentimen bagi menyerang pihak lawan terutama menerusi di media sosial.

Sebaliknya parti-parti yang bertanding diingatkan supaya menumpukan kepada persai­ngan idea, dasar dan tawaran kepada rakyat sepanjang tempoh dua minggu berkempen ba­ gi memilih 36 Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (DUN).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dan mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sepanjang proses pilihan raya.

Katanya, perkara itu termasuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau memuat naik kandungan berunsur provokasi, menggugat ketenteraman awam yang menyentuh isu 3R termasuk di media sosial.

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sebarang pelanggaran undang-undang akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

PRN Negeri Sembilan yang bermula hari ini dengan seramai 889,490 pengundi berdaftar bakal memilih wakil rakyat masing-masing bagi 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Berbanding pilihan raya negeri sebelum ini, PRN kali ini berlangsung dalam suasana yang berbeza susulan krisis dan polemik yang melibatkan institusi diraja, pembesar dan adat di Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu berpotensi mencetuskan penyebaran kandungan berunsur provokasi sekiranya tidak dikawal dengan baik khususnya menjadikan media sosial sebagai antara platform utama penyebaran maklumat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRN Negeri Sembilan supaya tidak memainkan isu 3R termasuk berkaitan institusi diraja.

Anwar berkata, walaupun persaingan politik dibenarkan dalam amalan demokrasi, namun ia perlu berlangsung secara berhemah tanpa menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Alzafny berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan membabitkan isu 3R sepanjang tempoh awal kempen PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, polis sentiasa memantau perkembangan semasa termasuk kandungan yang disebarkan di media sosial bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi atau mengganggu ketenteraman awam.

“Orang ramai diminta agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, tidak mudah terpengaruh dengan provokasi serta bersama memelihara keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian negara demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan mematuhi lunas undang-undang.

“Kerjasama semua pihak termasuk parti politik, penyokong dan orang ramai amat penting bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana aman, harmoni serta menghormati prinsip demokrasi negara,” katanya.

Menurutnya, budaya berkempen secara matang dan berhemah perlu menjadi keutamaan supaya pengundi dapat membuat penilaian berdasarkan fakta, rekod pencapaian dan tawaran yang dibawa oleh setiap parti bertanding.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN