KUALA LUMPUR: “Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang.”
Demikian pesanan terakhir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menamatkan perkhidmatan selepas hampir 35 tahun berbakti kepada pasukan.
Ayob Khan berkata, setiap anggota dan pegawai perlu terus memelihara nama baik institusi yang dibina hasil pengorbanan generasi terdahulu.
Menurutnya, warga PDRM perlu mempertahankan maruah pasukan dengan menjadikan integriti sebagai pegangan utama, bukannya menggadaikan amanah demi kepentingan peribadi.
“Jagalah pasukan ini. Jagalah seragam ini. Jagalah nama baik institusi yang telah dibina dengan darah, keringat dan nyawa rakan-rakan kita yang terdahulu.
“Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini semalam.
Beliau turut mengingatkan setiap anggota supaya tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan sehingga menindas golongan lemah.
Katanya, setiap kuasa yang dipikul hadir bersama tanggungjawab besar terhadap rakyat yang sentiasa mengharapkan keadilan daripada pasukan polis.
“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa bahawa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” katanya.
Ayob Khan berkata, integriti bukan diukur ketika seseorang dipuji atau diawasi, sebaliknya ketika tiada sesiapa yang melihat setiap tindakannya.
Menurutnya, setiap anggota perlu sentiasa menginsafi bahawa amanah dan kuasa akhirnya akan dipersoalkan di hadapan Allah.
“Pegang dan pertahankan integriti yang kita semat di dada. Integriti bukan tentang siapa diri kita ketika dipuji tetapi siapa diri kita ketika tiada sesiapa yang melihat.
“Manusia mungkin tidak melihat. Ketua mungkin tidak mengetahui. Namun, Allah sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.
“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan,” katanya.
Mengimbau perjalanan kerjayanya, Ayob Khan berkata, PDRM bukan sekadar tempat mencari rezeki tetapi keluarga yang membentuk jati diri sepanjang hampir tiga setengah dekad berkhidmat.
Katanya, pasukan itu mengajar beliau tentang keberanian, kesetiaan, kehilangan dan pengorbanan, selain menerima hakikat bahawa setiap amanah mempunyai penghujungnya.
“Saya mungkin tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan PDRM. Namun, doa saya akan sentiasa bersama pasukan ini.
“PDRM telah memberikan saya lebih daripada sebuah kerjaya. Pasukan ini memberikan saya keluarga dan sahabat.
“Pasukan ini mengajar saya erti keberanian, kesetiaan, kehilangan dan pengorbanan. Pasukan ini juga mengajar saya bahawa tidak semua perkara dalam hidup menjadi milik kita untuk selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya amanah itu diserahkan kepada generasi baharu untuk meneruskan legasi pasukan.
“Akan tiba masanya kita perlu melepaskan. Bukan kerana kita tiada hati tetapi kerana amanah itu perlu diteruskan oleh generasi yang berikutnya.
“Pada akhirnya, kita semua akan berdiri di hadapan Allah, bukan dengan pangkat atau jawatan tetapi dengan amal dan perbuatan kita,” katanya.
Majlis serah terima tugas berlangsung antara Ayob Khan dengan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.
Ayob Khan yang mula menyertai PDRM pada Disember 1991 bersara wajib hari ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan. – UTUSAN










