PETALING JAYA: Isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya dijadikan modal kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya, parti-parti yang bertanding wajar memberi keutamaan kepada isu berkaitan kepentingan rakyat Johor, termasuk soal pembangunan tidak seimbang antara daerah di negeri itu.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tidak semua masalah negara wajar diletakkan di atas bahu Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Katanya, nama Najib juga tidak seharusnya diheret dalam PRN Johor kerana beliau telah didapati bersalah oleh mahkamah atas kes rasuah.
“Jangan heret isu Najib dalam PRN Johor. Najib telah didapati bersalah oleh mahkamah.
“Tumpukan PRN Johor kepada isu Johor khususnya seperti pembangunan yang tidak seimbang, lebih tertumpu di daerah Johor Bahru di sebelah selatan berbanding daerah lain di utara Johor atau di timur Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, kerajaan pimpinan Najib telah kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 disebabkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sehubungan itu, beliau berkata, prestasi kerajaan BN Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi perlu dinilai berdasarkan pentadbiran negeri, bukan dikaitkan dengan Najib.
“Jika ia lemah, tidak cekap dan tiada pembangunan bermakna untuk rakyat Johor, maka fokuskan isu ini. Najib tidak ada kena-mengena jika kerajaan BN Johor gagal,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan berkata, walaupun Najib telah didapati bersalah, bekas Perdana Menteri itu tidak melarikan diri seperti ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
“Najib juga manusia. Bertimbang rasalah juga kepadanya. Janganlah kita terlalu zalim dan sadis terhadapnya,” katanya. – UTUSAN









