Jangan berlagak ‘star’, populariti boleh jatuh bila-bila masa - Raja Atiq - Utusan Malaysia

Jangan berlagak ‘star’, populariti boleh jatuh bila-bila masa – Raja Atiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Atiq mengingatkan rakan seperjuangan dalam industri seni agar sentiasa menjaga adab dan tidak bersikap angkuh ketika berada di set penggambaran.

Atiq atau Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 26, berkata teguran itu dibuat secara umum kerana populariti yang dikecapi seseorang selebriti bukan alasan untuk mereka bersikap besar diri.

“Tidak kira di set mana sekalipun, sebagai pelakon sama ada yang baharu bertapak atau sudah lama dalam industri, apabila berjumpa dengan artis senior atau veteran, kita perlu ada rasa hormat.

“Dalam apa jua tempat kerja, adab adalah perkara paling utama. Setakat mahu menunjukkan diri sebagai ‘star’ atau sekadar berlagak, ia tidak membawa sebarang manfaat. Apa yang penting ketika penggambaran adalah keserasian antara semua pihak.

“Walaupun tidak mempunyai babak bersama pelakon tertentu, tegurlah mereka dengan baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Yes Captain Zul Aaryan, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman pernah berdepan situasi bekerja dengan pelakon yang kurang profesional, pelakon drama Nur itu mengakui keadaan sedemikian boleh menyukarkan proses penggambaran.

“Ada yang apabila di luar set, tiba-tiba tidak mahu membuat latihan, hanya duduk dalam kereta bermain telefon dan sebagainya. Perkara ini bukan saya sahaja yang perasan, malah ramai pelakon senior turut menyuarakan perkara sama, terutama membabitkan individu yang sering datang lewat dan tidak menghargai masa bekerja.

“Jangan rasa diri sudah terlalu besar atau menganggap diri sebagai artis paling popular sehingga melupakan adab. Hakikatnya, populariti boleh berubah dan jatuh pada bila-bila masa.

“Walaupun hari ini tawaran datang bertalu-talu, kita tidak tahu bagaimana keadaan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Atiq mencuri perhatian selepas membuat hantaran menerusi Threads yang menegur tindakan segelintir pelakon yang didakwa bersikap sombong ketika berada di set penggambaran. Bagaimanapun, Atiq tidak mendedahkan sebarang nama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN