JELEBU: Dakwaan UMNO tidak bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal adalah tidak tepat kerana usul itu dibawa ketika Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang dari 2018 hingga 2022.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, usul berkenaan diputuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu dan bukannya melibatkan pendirian UMNO dan BN.
“Saya pun tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Saya tidak maklum dan saya pasti UMNO tidak terlibat ataupun tidak menyatakan persetujuan ataupun tidak bersetuju dalam hal itu kerana ia diputuskan oleh kerajaan PH ketika itu.
“Tidak ada kaitan dengan UMNO dan kalau Menteri Besar kata UMNO yang tidak bersetuju dengan had tempoh itu, saya rasa tidak betul.
“Jadi kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, harap bertenang dan gunakan waktu kempen ini sebaik mungkin. Insya-Allah kita mendoakan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk di sekitar Pekan Simpang Pertang, Jelebu hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan mendedahkan bahawa usaha mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal sebelum ini gagal dilaksanakan selepas usul berkenaan ditolak oleh BN.
Aminuddin berkata, cadangan itu merupakan antara komitmen yang ingin dilaksanakan kerajaan negeri, namun tidak memperoleh sokongan mencukupi di Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ia dibentangkan.-UTUSAN










