Kita sering mendengar atau membaca berita tentang pelajar tidak menghormati guru yang bertentangan dengan nilai adab berasaskan ajaran Islam.
Kejadian melibatkan segelintir pelajar tidak menghormati guru sama ada di sekolah atau di luar sekolah jelas menyimpang matlamat pendidikan yang antara lain untuk pembentukan sahsiah yang baik, kemuliaan pekerti dan pembinaan intelek manusia khususnya pelajar.
Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Ustaz Mohd. Azrul Sahi, 43, berkata, agama Islam menitikberatkan nilai adab dan akhlak dalam segenap aspek kehidupan.
“Perkara ini selari dengan matlamat kurikulum Pendidikan Islam di sekolah, iaitu untuk melahirkan murid berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan sunah.
MOHD. AZRUL SAHI
Usia: 43 tahun
Tarikh lahir: 25 Februari 1982
Tempat lahir: Felda Kota Gelanggi Tiga, Jerantut Pahang
Pendidikan rendah dan menengah:
Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Tiga, Jerantut (Tahun 1989 hingga 1993)
Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar Jerantut, Pahang (Tahun 1994 hingga Tahun 1998)
Pendidikan tinggi:
Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM ) (Tahun 2002 hingga 2006)
“Guru adalah insan yang bertanggungjawab dalam mendidik dan menyampaikan ilmu kepada pelajar dan masyarakat merangkumi setiap perkara sama ada dari segi rohani, akademik dan agama.
“Sehubungan itu, golongan guru atau murrabi wajar dihormati kerana martabat guru itu sendiri diiktiraf oleh Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Azrul berkata, Islam melarang sikap memperlekeh dan mempersenda guru apatah lagi bagi pelajar yang berani menyanggah peraturan dan tidak mendengar nasihat semasa di sekolah.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kalangan ilmuan Islam sudah menjelaskan betapa pentingnya menjaga adab dengan guru.
Misalnya, Imam Ahmad (22755) meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ‘Bukanlah dalam kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dalam kalangan kami, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil dalam kalangan kami dan mereka yang tidak memberikan hak kepada orang alim dalam kalangan kami.’
Beliau berkata, pelajar hari ini perlu meneladani sikap para sahabat Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan contoh ketika berhadapan dengan guru yang mana mereka amat menjaga (tertib) kelakuan dan tutur kata ketika bersama dengan guru mereka.
“Antara nilai adab yang wajar dizahirkan oleh pelajar, iaitu merendahkan suara ketika bercakap serta menjaga pandangan mata ketika berdepan dengan guru sebagai tanda hormat,” katanya.
Katanya, hadis Riwayat Bukhari (2731), bermaksud: Apabila baginda SAW bersabda (para sahabat) akan merendahkan suara mereka di sisi Baginda, mereka tidak menajamkan penglihatan kepada baginda sebagai tanda hormat kepadanya.
Mohd. Azrul berkata, guru merupakan simbol kepada ilmu pengetahuan. Sekiranya pelajar menghormati guru bermakna menghargai ilmu dan sikap hormat ini sebagai perantaraan atau penyambung untuk memperoleh keberkatan melalui apa yang dipelajari.
“Pelajar sepatutnya patuh dan menghormati arahan guru dalam perkara kebaikan, ilmu, dan adab, serta memuliakan ilmu yang diajarkan.
“Setiap teguran dan nasihat guru merupakan nilai pendidikan yang dapat membina sahsiah kendiri seseorang pelajar,” katanya.
Sehubungan itu, katanya setiap nasihat dan teguran guru adalah untuk mendidik ke arah membentuk akhlak mulia walaupun sesuatu perkara itu kecil dan remeh, tetapi tidak wajar dipertikaikan oleh pelajar dengan membalas teguran atau melawan guru.
“Anggaplah teguran dan nasihat guru di sekolah sebagai pengganti ibu bapa di rumah dan tanda kasih sayang. Seorang guru ingin sentiasa memperbaiki kelemahan anak didiknya dan sebagai pelajar perlulah bersabar,” katanya.-UTUSAN









