Jadikan pengajaran, henti main isu perkauman

Jadikan pengajaran, henti main isu perkauman

HANNAH Yeoh (tengah) bersama barisan peguam ketika ditemui selepas prosiding kes saman fitnah melibatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hannah Yeoh menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak permohonan kebenaran merayu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai keadilan selepas lima tahun berdepan kes saman fitnah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu turut menzahirkan rasa syukur selain berterima kasih kepada pasukan peguamnya yang membantu sepanjang prosiding kes berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, beliau berdepan pelbagai tohmahan serta fitnah termasuk berkaitan agama dan bangsa susulan kenyataan fitnah yang dibuat terhadapnya.

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana telah membantu memberikan keadilan kepada saya.

“Setelah lima tahun saya menghadapi pelbagai fitnah kerana kenyataan itu yang dibuat oleh mantan Ketua Polis Negara.

“Saya masih ingat lagi pelbagai tomahan dan fitnah dikeluarkan mengenai agama saya, mengenai bangsa saya dan fitnah-fitnah ini telah menyebabkan banyak laporan polis juga dibuat terhadap saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes berhubung saman fitnah melibatkankan Musa di Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu turut berharap keputusan berkenaan menjadi pengajaran kepada pihak yang sering memainkan isu kaum dan agama.

“Isu bangsa, agama, kaum, yang ini memang tidak boleh dimainkan. Dan hari ini, saya berharap ia menjadi satu pengajaran kepada pihak lain di luar yang suka mainkan isu kaum dan agama. Ini kena dihentikan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Razlan Hadri Zulkifli berkata, keputusan itu membuktikan kebenaran telah ditegakkan selepas mahkamah memutuskan Musa bertanggungjawab terhadap kenyataan fitnah berkenaan.

Katanya, walaupun setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara, ia tidak seharusnya digunakan untuk memfitnah atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat.

“Kes ini bukan mengenai wang, tetapi berhubung reputasi individu yang perlu dipulihkan. Ia adalah untuk memastikan negara ini selamat untuk semua pihak.

“Setiap orang walaupun mempunyai hak kebebasan bersuara, tetapi tidak bolehlah sampai memfitnah orang, tidak bolehlah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh memporak-perandakan keselamatan dan kejituan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan keputusan yang memerintahkan Musa membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Hannah.

Ia selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang difailkan oleh bekas penjawat awam itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN