IPCC terima 1,635 aduan libat kes anggota polis

IPCC terima 1,635 aduan libat kes anggota polis

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) me­nerima 1,635 aduan sejak ia mula dikuat kuasa pada 2023 sehingga 24 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima itu, sebanyak 844 aduan atau kira-kira 76 peratus telah di­selesaikan, manakala bagi tahun ini sehingga 24 Julai lalu, IPCC merekodkan 372 aduan.

Menurutnya, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka dengan lima daripadanya dibuka pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 11 kertas siasatan telah selesai manakala baki 11 lagi masih dalam tindakan.

“Kalau aduan itu mempunyai elemen rasuah, IPCC akan me­nyalurkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana IPCC tidak ada kepakaran seperti SPRM menyiasat kes-kes rasuah.

“Begitu juga jika aduan itu melibatkan unsur jenayah, maka ia akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah kerana perkara tersebut berada dalam bidang kuasa mereka,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Ne­geri (KDN) di sini semalam.

Terdahulu, Saifuddin me­nyaksikan penyerahan Poster Aduan IPCC sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti dan akauntabiliti anggota pasukan polis melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.

Poster berkenaan akan dipamerkan di sudut informasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan IPCC serta saluran aduan yang disediakan.

Kata Saifuddin, antara kategori aduan paling tinggi diterima ialah ketidakpuasan hati pengadu kerana tidak terima sebarang maklum balas berhubung laporan atau aduan yang dikemukakan kepada polis.

“Contohnya, mereka membuat aduan kepada pihak polis, kemudian tiada perkembangan atau tindakan susulan. Jadi, ka­tegori aduan tertinggi yang di­terima ialah ketidakpuasan hati kerana tiada maklum balas terhadap siasatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa IPCC yang baru menghampiri tiga tahun penubuhannya mempunyai bidang kuasa yang diperuntukkan secara jelas di bawah Akta IPCC dan tidak mengambil alih fungsi agensi penguat kuasa lain.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, tindakan PDRM menahan 12 anggotanya yang disyaki terbabit dalam kes memeras ugut seorang lelaki warga asing membuktikan pa­sukan itu tidak berkompromi terhadap salah laku dalam ka­langan anggotanya sendiri.

“Hakikat bahawa pihak polis menangkap, menahan dan mengambil tindakan, ini adalah mesej yang jelas bahawa PDRM tidak akan sama sekali bertolak ansur, sekali pun terhadap anggotanya sendiri,” katanya.

Semalam, media melaporkan, polis tahan 12 anggota polis pelbagai pangkat selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN